Salah satu perkara besar yang menghantui ibu-ibu, adakah mereka mempunyai susu ibu yang mencukupi untuk bayi mereka. Apa tanda bayi cukup menyusu? Risau susu tidak mencukupi, alasan yang biasa digunakan untuk mula mengambil susu formula sebagai tambahan, dan akhirnya susu ibu semakin kurang. Dan akhirnya dihentikan
Isi kandungan
Generasi sukat susu dan risau tak cukup susu
Kita hidup dalam generasi dibesarkan dengan susu formula. Kebanyakkan kita terutama generasi tua memberi susu formula kepada bayi, mengetahui berapa banyak susu yang diambil oleh bayi setiap penyusuan. Untuk bayi baru lahir, sekian banyak. Bayi berusia 2 bulan sekian banyak. Sehinggakan kita tidak sedar adakala kita telah terlebih bagi susu kerana terlalu mengikut sukatan. Kita tidak mengambil kira keadaan bayi samada sudah cukup susu atau terlebih susu. Salah satu tanda bayi cukup menyusu, ia akan berhenti dengan sendiri apabila telah kenyang.
Di samping itu, susu formula biasanya tidak perlu diambil kerap seperti susu ibu. Susu formula lebih sukar hadam berbanding susu ibu. Ini menyebabkan ia berada lama di dalam perut bayi dan bayi kenyang lebih lama. Ini juga punca bayi mendapat masalah penghadaman. Manakala susu ibu lebih mudah hadam. Apabila bayi kerap menyusu susu ibu, selalu berlaku salah sangka susu tidak mencukupi sedangkan susu ibu mudah hadam jadi bayi kembali lapar.
Hampir kesemua ibu dapat mengeluarkan susu yang mencukupi untuk bayi mereka. Badan ibu telah mula membuat penyediaan ketika hamil. Lemak-lemak yang terkumpul ketika ini adalah salah satu badan bersedia untuk mengeluarkan susu. Hanya terdapat sebilangan kecil wanita yang tidak mempunyai susu yang cukup. Ini ada kaitan dengan masalah kesihatan seperti pembedahan buah dada, sakit atau penggunaan pil perancang yang mengurangkan susu.
Tanda bayi cukup menyusu susu ibu
Apakah tanda bayi cukup menyusu? Ibu yang baru mempunyai anak dan ingin berikan susu badan, sering gusar cukup kah susu untuk bayi. Ada tanda-tanda susu badan cukup untuk bayi yang boleh diketahui. Apabila mengetahui tanda ini, mudah menilai keadaan bayi dan tidak terlalu risau.
Tanda-tanda bayi cukup menyusu adalah seperti berikut
- Bayi melekat pada payudara dan menghisap secara berganti-ganti laju dan perlahan, selama 10-15 minit pada setiap payudara. Selesai menyusu dia kelihatan kenyang dan melepaskan puting ibu serta tertidur.
- Mendengar bayi sentiasa menelan ketika menyusu. Perhatikan pergerakan dagu dan leher. Kelihatan bergerak untuk menelan air susu.
- Apabila susu anda telah mula keluar selepas beberapa hari bersalin, payudara akan terasa penuh dan keras sebelum penyusuan. Selepas bayi menyusu, payudara menjadi lembut. Ketika bayi sedang menyusu di payudara sebelah, mungkin susu akan menitis daripada sebelah payudara tidak dihisap.
- Perhatikan pengeluaran air kencing dan najis bayi.
- Pada hari pertama bayi lampin basah kerana kencing sekurang-kurangnya 1 lampin dan lampin bernajis sebanyak 1 ke 2 lampin.
- Hari kedua sekurang-kurangnya 2 lampin kencing dan 2 lampin najis.
- Hari ketiga sekurang-kurangnya 3 lampin kencing dan 3 lampin najis. Najis berwarna kehijauan, coklat atau kekuningan
- Hari ke empat sekurang-kurangnya 4 lampin kencing dan 3 lampin najis. Najis berwarna kehijauan, coklat atau kekuningan
- Hari kelima dan seterusnya sekurang-kurangnya 6 lampin kencing dan 3 lampin najis. Najis berwarna kuning keemasan, lembik dan berbiji.
- Jika kencing dan najisnya kurang dari jumlah ini, ia tanda mungkin tidak mendapat susu yang mencukupi.
- Mungkin ada bayi yang akan membuang selepas setiap kali menyusu.
- Ketika bayi hanya mendapatkan kolostrum, bayi kurang kencing. Selepas susu mula keluar, dia akan kencing 6-8 kali dalam masa 24 jam. Air kencing pucat, tiada berwarna dan kurang berbau. Air kencing yang gelap menandakan bayi tidak mendapat susu yang mencukupi.
- Memeriksa berat bayi. Di bawah adalah jadual purata kenaikan berat bayi dalam seminggu. Pada usia setahun berat bayi akan meningkat 2 ke 3 kali ganda daripada semasa lahir
Umur bayi | Purata kenaikan berat bayi |
---|---|
0 – 4 bulan | 150 hingga 240 gm/minggu |
4 – 6 bulan | 110 hingga 140 gm/minggu |
6 – 12 bulan | 60 hingga 110 gm/minggu |
7. Pertambahan panjang dan ukur lilit kepala. Pada usia bayi setahun panjang atau ketinggian bayi bertambah sebanyak 50% dan ukur lilit kepala bayi bertambah sebanyak 33%
Usia Bayi | Penambahan Panjang | Penambahan Ukur lilit kepala |
---|---|---|
0 – 6 bulan | 2.5 cm/bulan | 1.27 cm/bulan |
6 – 12 bulan | 1.27 cm/bulan | 6.4 cm/bulan |
Apakah tanda susu badan kurang?
Apabila berlaku keadaan bayi sering menangis selepas menyusu dan nampak masih lapar atau bayi kelihatan tidak tenang ketika menyusu memberi tanggapan susu ibu tidak mencukupi. Di tambah pula bayi kerap menyusu seolah tidak cukup susu. Selain itu, payudara ibu terasa tidak penuh seperti biasa dan tiada lelehan susu keluar.
Ini mungkin tanda susu badan kurang. Namun usah risau. Keadaan ini adalah normal mungkin disebabkan oleh beberapa faktor seperti berlaku pertambahan penyusuan bayi, pengambilan ubat-ubatan atau pil hormon. Kenalpasti punca berlaku pengurangan. Ibu perlu bertenang dan usah risau berlebihan. Risau akan memberi tekanan kepada emosi dan memburukkan keadaan. Elak sama sesekali menambah susu formula. Teruskan dengan kerap memberi susu ibu. Dalam masa beberapa hari susu akan bertambah.
Bagaimana ingin pastikan bayi benar-benar dapat susu?
Bayi yang menyusu cara yang betul akan mendapat susu yang mencukupi. Pelajari cara pelekapan yang betul. Sebelum bersalin pelajari dan dapatkan maklumat mengenai penyusuan susu ibu. Maklumat ini mudah didapati di semua hospital kerajaan dan hospital swasta yang mempunyai polisi rakan bayi.
Selepas bersalin, minta jururawat terlatih mengajar cara yang betul dan sering bertanya jika tidak pasti. Lebih mudah belajar sejak awal kelahiran bayi untuk mengelak masalah akibat salah penyusuan.
Cara pelekapan yang betul untuk penyusuan susu ibu
- Pastikan mulut bayi terbuka luas dan bibir melekup keluar
- Areola berada sepenuhnya di dalam mulut bayi
- Dagu bayi menyentuh payudara
- Pipi bayi gelembung
- Payudara nampak penuh dan bulat. Jika bentuk menjadi panjang ia bermakan salah cara penyusuan
Tanda-tanda pelekapan yang salah
- Dagu bayi jauh dan tidak kena payudara
- Tidak semua areola berada dalam mulut bayi. Hanya puting berada dalam mulut bayi. Dapat dilihat areola berada luar mulut bayi.
- Dagu bayi tidak menyentuh payudara
- Ibu rasa sakit
- Payudara bengkak dan puting luka
Dengan pelekapan yang betul bayi akan mendapat susu yang mencukupi. Perhatikan tanda-tanda bayi cukup susu yang telah diberikan di atas.