Masalah payudara ketika penyusuan ini biasa berlaku kepada ibu baru bersalin. Ia perkara normal dan dapat diatasi dengan segera. Namun jika biarkan berlarutan ia mungkin melarat.
Isi Kandungan
Masalah Payudara Ketika Penyusuan
Dalam beberapa hari pertama mungkin ibu akan alami sakit pada puting selama beberapa saat permulaan bayi menghisap. Masalah payudara ketika penyusuan ini biasa berlaku kepada ibu baru bersalin, ia akan hilang selepas beberapa hari. Namun ia tetap terasa sakit. Bagaimana ingin atasinya?
Berikut masalah payudara ketika penyusuan yang sering dialami dan disertakan panduan untuk atasinya. Jika tidak pasti, dapatkan bantuan.
Bengkak Susu
Dalam 2 ke 3 hari selepas bersalin, mungkin payudara bengkak atau dipanggil bengkak susu. Payudara terasa berdenyut-denyut, berketul-ketul dan penuh. Bengkak ini mungkin akan merebak sehingga ke ketiak. Ini sebenarnya petanda baik, iaitu pengeluaran susu semakin bertambah. Namun ia mungkin juga disebabkan masalah saluran tersumbat.
Cara atasi
- Susukan bayi kerap, mengikut kehendak bayi. Jika bayi tidur terlalu lama, kejutkan bayi setiap 2 ke 3 jam. Ini penting kerana jika bengkak tidak berkurang ia boleh menyebabkan pengurangan susu. Cuba berikan sebelah payudara sehingga payudara menjadi lembut untuk kosongkannya. Jika bayi anda kenyang dengan sebelah payudara sahaja, berikan sebelah payudara lagi untuk penyusuan yang seterusnya.
- Rawatan bengkak susu dengan cara tuam sejuk menggunakan ais. Ini bertujuan untuk mengurangkan rasa sakit. Kemudian tuam panas untuk memastikan aliran darah bergerak lancar. Lakukan sekali atau beberapa kali sehari. Jangan di urut tanpa lakukan tuaman, ia akan menambah kesakitan.
- Perah susu untuk mengurangkan bengkak. Lakukan perahan menggunakan tangan. Penggunaan mesin perahan akan menyakitkan.
- Anda juga boleh memberikan susu kepada bayi dengan hidung bayi menghala ke saluran tersumbat, kerana sedutan paling kuat di tengah di bawah hidung bayi.
Bengkak di belakang areola
Bengkak terjadi kerana susu berlebihan di sinus iaitu tempat simpanan terletak di belakang areola. Ia akan menjadi keras dan menyusahkan bayi memasukan puting ke mulut. Bayi akan melekat pada puting, dan boleh menyebabkan luka pula.
Cara atasi
- Ibu perlu mengeluarkan sedikit susu daripada sinus sebelum menyusu agar areola menjadi lembut.
Puting luka dan rekah
Jika rasa sakit ketika menyusu mungkin disebabkan berlakunya luka atau rekah pada puting. Puting luka dan rekah terasa pedih dan sakit ketika memberi susu kepada bayi.
Cara atasi
- Periksa cara penyusuan. Jika cara penyusuan salah, belajar cara menyusu yang betul untuk mengelakkan ia berlaku lagi.
- Elakkan bayi anda menghisap ketika areola (bahagian gelap puting anda) dalam keadaan keras. Untuk mengurangkan puting rosak atau luka dan membantu bayi anda menghisap susu (puting yang keras menyukarkan bayi menyusu), perah susu secara manual sehingga areola lembut.
- Doktor akan berikan ubat untuk disapu pada payudara. Krim sapuan ini selamat untuk bayi anda.
Jangkitan pada payudara
Jika luka berlaku dalam payudara, ini mungkin akan menyebabkan jangkitan, ia boleh mengakibatkan berlaku bisul payudara. Kulit akan menjadi merah di sekeliling luka, dan mungkin mengalami demam, sakit kepala dan simptom seperti selesema.
Cara atasi
- Dapatkan rawatan segera
- Mengosongkan susu sepenuhnya daripada payudara sekali sehari turut membantu.
Puting tenggelam atau rata
Jika bayi sukar menghisap daripada puting ibu disebabkan masalah puting tenggelam atau rata, bayi mungkin menolak, menangis atau terus tidur. Cuba beri susu dengan bantuan seperti menekan bawah payudara dengan jari agar puting keluar. Ada juga yang tidak boleh langsung ditarik keluar. Ada cara untuk selesaikannya.
Cara atasi
- Letakkan jari anda di bawah payudara dan ibu jari di atas payudara lebih kurang 5 cm daripada puting dan tekan untuk membentuk sandwich.
- Boleh guna nipple shields (pelindung puting). Letakkan diputing ibu dan biar bayi menghisap menggunakan nipple shields ini. Lama-kelamaan, puting ibu akan mula timbul dan tidak memerlukan pelindung ini lagi.
- Ada puting yang tenggelam namun bila ditekan akan menjulur keluar.
Jangan terlalu risau mengenai masalah payudara ketika penyusuan terutama jika ini anak sulung. Banyak yang perlu dipelajari. Keseronokan dapat menyusu anak akan mengatasi kerisauan masalah payudara ketika penyusuan ini.