Berapa kos bersalin hospital kerajaan? Bagaimana ingin mendapatkan perkhidmatan di hospital kerajaan? Di mana terletaknya hospital terdekat? Apakah prosedur bersalin hospital kerajaan?
Isi Kandungan
Kos bersalin hospital Kerajaan
Pihak kerajaan Malaysia menyediakan kemudahan kesihatan dengan bayaran yang murah untuk rakyat Malaysia. Untuk rawatan pesakit luar hanya dikenakan bermula serendah RM1 sahaja. Namun untuk bukan warganegara dikenakan caj yang lebih mahal.
Kos bersalin hospital kerajaan adalah sangat murah. Ini memberi peluang kepada rakyat yang tidak berkemampuan menggunakan perkhidmatan tanpa memikirkan bagaimana ingin membayarnya. Penyediaan barang-barang bayi sudah perlukan wang yang banyak, sekurang-kurangnya kos bersalin yang murah mengurangkan bebanan yang ditanggung.
Caj Wad
Caj kemasukan ke wad dikenakan mengikut kelas wad. Terdapat tiga jenis wad iaitu Kelas Satu, Kelas Dua dan Kelas Tiga. Kemudian caj juga berbeza bagi wad yang berhawa dingin atau tidak.
Berikut jumlah caj yang dikenakan untuk sehari mengikut kelas dan jenis bilik
Kelas | Tiada Hawa Dingin RM | Ada Hawa Dingin RM |
---|---|---|
Kelas Satu | ||
– Bilik dengan satu katil | RM90 | RM120 |
– Bilik dengan dua katil | RM60 | RM90 |
– Bilik dengan tiga katil | RM45 | RM60 |
Kelas Dua | RM25 | RM40 |
Kelas Tiga | RM3 | RM3 |
Jika berkemampuan boleh pilih wad Kelas Satu. Namun agak sukar untuk dapat wad Kelas Satu. Sentiasa penuh. Ini kerana caj yang dikenakan masih murah berbanding di hospital swasta dan mendapat perkhidmatan yang baik. Ramai yang berebut untuk masuk ke kelas satu.
Berikut adalah caj bilik bersalin
Jenis Bilik Prosedur | Caj |
---|---|
Bilik Bersalin | RM120 (hanya untuk Kelas Satu) |
Dewan Bedah | RM120 (hanya untuk Kelas Satu) |
Caj ini dikenakan untuk sekali kemasukan.
Caj Rawatan
Selain dikenakan caj wad, terdapat caj untuk rawatan. Caj ini dikenakan mengikut kelas iaitu samada Kelas Satu, Kelas Dua atau Kelas Tiga.
Berikut caj rawatan untuk bersalin
Rawatan Bersalin | Kelas Satu | Kelas Dua | Kelas Tiga |
---|---|---|---|
Bersalin normal | RM450 | RM150 | RM10 |
Bersalin kembar Bersalin dengan bantuan (forcep/vakum/songsang) | RM600 | RM200 | rm50 |
Bersalin Pembedahan | RM1,200 | RM400 | RM100 |
Caj rawatan di hospital swasta mencecah RM2,000 ke RM4,000 untuk bersalin normal. Jika secara pembedahan caj mencecah antara RM10,000 ke RM15,000. Berbanding di hospital kerajaan, pesakit di wad Kelas Tiga, hanya dikenakan antara RM20 ke RM150. Kelas Kedua, kos antara RM200 ke RM500. Manakala untuk Kelas Pertama kos bersalin antara RM700 ke RM1,600, ianya masih murah berbanding kos bersalin di hospital swasta.
Prosedur bersalin hospital kerajaan
Bersalin di hospital kerajaan mempunyai prosedur yang perlu dipatuhi. Anda perlu mendaftarkan nama dan membuat pemeriksaan bulanan seperti disarankan di klinik kesihatan atau hospital. Pilih klinik yang disarankan mengikut daerah atau yang berhampiran dengan tempat tinggal. Senarai hospital boleh semak di sini.
Pemeriksaan dilakukan bermula sejak kehamilan mula dikesan sebaik-baiknya antara 6 ke 12 minggu hamil. Pastikan membawa kad pengenalan dan bil air atau eletrik untuk pengesahan alamat ketika mendaftar kali pertama.
Anda akan diberi kad rekod kesihatan ibu atau digelar ‘Kad Pink’. Kad pink ini hendaklah dibawa setiap kali hadir untuk pemeriksaan. Maklumat pemeriksaan akan dicatat di dalam kad ini. Kad ini perlu dibawa semasa kemasukan ke wad untuk bersalin.
Selepas selesai pemeriksaan, anda akan diberi tarikh pemeriksaan berikutnya. Ikut tarikh yang telah ditetapkan. Pemeriksaan ini penting untuk mengenalpasti jika terdapat sebarang masalah.
Hospital kerajaan mempunyai kemudahan yang lengkap dan doktor pakar yang bagus dan berpegalaman. Ada doktor-doktor pakar terbaik di Malaysia berada di hospital kerajaan. Kemudahan wad atau kelengkapan mungkin berbeza antara hospital-hospital bersalin.
Ada kes di mana, ibu-ibu membuat pemeriksaan di hospital swasta namun terpaksa dihantar bersalin di hospital kerajaan. Hal ini berlaku jika ibu atau bayi dijangka menghadapai masalah yang tidak dapat ditangani di hospital swasta. Pemeriksaan bulanan penting untuk kenalpasti masalah yang mungkin berlaku. Samada memilih bersalin di hospital kerajaan atau swasta, pemeriksaan ini perlu dilakukan.
Selepas bersalin, bayi akan diletakkan disebelah anda dan anda perlu menjaganya sendiri. Tujuannya adalah untuk memastikan anda dapat menjaga bayi dan menyusukan bayi seawal yang mungkin. Anda akan dapat belajar dan mengenalpasti tanda anak perlu menyusu.
Jika tiada masalah sehari selepas bersalin anda dibenarkan keluar pulang ke rumah.
Bersalin di hospital kerajaan berbayar penuh (FPP)
Hospital kerajaan turut menawarkan perkhidmatan bersalin berbayar penuh yang ditanggung oleh pesakit. Perkhidmatan ini dipanggil Full Paying Patient (FPP). Ia sama seperti hospital swasta namun pada kos yang lebih rendah. Pesakit boleh memilih doktor dan mendapat rawatan lebih cepat. Selain itu boleh memilih bilik samada bilik eksekutif, kelas pertama atau VIP. Layanan dan kemudahan adalah lebih baik berbanding perkhidmatan yang percuma.
Di samping itu, ia juga bertujuan mengurangkan masalah pesakit yang tidak dapat ditangani oleh hospital swasta dan perlu dirujuk ke hospital kerajaan. Apabila dimaklumkan berisiko, pesakit dari hospital swasta boleh terus rujuk dan mendapat rawatan di hospital kerajaan.
Hospital Rakan Bayi
Kebaikan hospital kerajaan, semua hospital adalah hospital rakan bayi. Apakah itu hospital rakan bayi?
Hospital rakan bayi adalah insiatif yang diwujudkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Tabung Kanak-Kanak Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) bertujuan bagi memastikan bayi mendapat permulaan kehidupan dalam persekitaran yang mengalakkan serta menyokong penyusuan susu ibu. Hospital kerajaan di Malaysia mendapat pengiktirafan dunia kerana 100% mengamalkan hospital rakan bayi.
Untuk tujuan ini, hospital telah menyediakan polisi secara bertulis untuk mencapai hasrat memastikan setiap bayi mendapat susu ibu. Anggota dan pegawai kesihatan dilatih dan mempunyai kemahiran untuk melaksanakan polisi ini.
Bakal-bakal ibu akan diajar semasa mengandung kebaikan dan cara penyusuan yang berjaya. Apabila bayi dilahirkan ibu-ibu diberi tunjuk ajar dan bantuan yang diperlukan agar dapat memberi susu secara betul. Penyusuan susu ibu dimulakan sejurus bayi dilahirkan. Semasa di hospital susu formula atau puting tiruan dilarang sama sekali digunakan.
Kelemahan
Hospital kerajaan sering menjadi pilihan untuk ibu bersalin kerana kos yang murah dan perkhidmatan yang baik. Namun akan berlaku kelemahan disebabkan terlalu ramai pesakit yang mendapatkan rawatan. Aduan yang biasa diterima adalah tempoh masa menunggu yang lama, dibenarkan masuk ke wad apabila hampir bersalin walaupun telah ada tanda bersalin dan layanan yang kurang mesra.
Namun bukan semua hospital begitu. Hanya segelintir. Adakala walaupun pesakit ramai, layanan masih cekap dan pantas. . Apabila berlaku kemasukan serentak yang ramai, perkara ini tidak dapat dielakkan. Perkara yang sama sebenarnya berlaku di hospital swasta. Ketika waktu puncak dengan kemasukan pesakit yang ramai, perkhidmatan menjadi kurang cekap dan tempoh menunggu juga adalah lama. Tiada kekosongan katil dan layanan juga menjadi kurang mesra.
Kita di Malaysia masih dikira beruntung kerana dapat bersalin hospital kerajaan pada caj yang murah dengan perkhidmatan yang baik. Oleh itu jangan merunggut dengan sedikit masalah yang dihadapi. Apbila terdapat ramai pesakit dan tidak dapat ditampung oleh hospital, akan berlaku perkara yang tidak dapat dielakkan dan menyebabkan berlaku kelemahan di pihak hospital.
Negara seperti di Amerika, caj dikenakan terlalu mahal sehingga mereka berkira-kira untuk ke hospital. Mereka perlu mempunyai insurans untuk bersalin di hospital. Kos membeli insurans juga mahal, namun masih berbaloi berbanding caj yang dikenakan oleh pihak hospital ditambah pula jika berlaku komplikasi menyebabkan kos melambung tinggi. Jika tiada insurans segala kos perlu ditanggung sendiri sepenuhnya iaitu antara $5,000 ke $11,000 untuk bersalin secara normal. Maka lahir lah pelbagai cara alami bersalin dirumah untuk menjimatkan kos.
Sememangnya kita beruntung kerana kos rawatan masih ditanggung oleh pihak kerajaan.