Saya masih ingat semasa bersalin anak sulung pada tahun 2000, selepas bayi lahir, bayi terus di bawa pergi. Hanya sempat ditunjukkan jantinanya untuk pengesahan jantina bayi. Ketika bersalin anak bongsu selang 10 tahun kemudian, berbeza situasinya. Bayi saya diletakkan di dada sejurus dilahirkan. Tidak dibersihkan dan dimandikan dahulu. Badan bayi masih diselaputi darah dan lemak berwarna putih.
Isi Kandungan
Keadaan selepas bayi lahir
Bayi baru lahir ini diselaputi cecair amniotik, jaluran darah dan lemak berwarna putih dan licin. Ini adalah normal. Ia bertindak sebagai pelembab kulit bayi, memudahkan bayi keluar ketika dilahirkan dan melindung bayi daripada jangkitan kuman. Selepas dilahirkan, tali pusat bayi akan dipotong dan disepit.
Sentuhan kulit ke kulit selepas bayi lahir
Selepas bayi lahir, bayi terus diberi kepada ibu. Bayi akan berasa selamat dan dapat kehangatan daripada ibu. Ini dapat dilakukan jika bersalin normal dan tiada komplikasi pada ibu atau bayi. Mungkin ada hospital tidak melakukan begini atas sebab-sebab tertentu.
Apa hendak dibuat ketika ini?
Mulakan dengan penyusuan susu ibu. Ini susu yang pertama yang diberi. Ketika ini bayi mungkin menunjukkan tanda ingin menyusu. Mulutnya mencari-cari puting. Namun ada bayi tidak terus menyusu ketika ini. Jangan risau. Pastikan bayi mendapat susu ibu dalam tempoh 24 jam pertama. Ketika tempoh ini, jangan beri susu formula untuk atasi masalah alahan.
Sentuh dan peluk bayi untuk beri kehangatan kepada bayi. Bayi juga akan rasa selamat apabila berasa didalam pelukan ibunya. Berbual-bual dengan bayi. Bayi telah mula kenal suara ibunya sejak berada di dalam kandungan ibu. Dia mungkin kenal juga suara ayahnya.
Boleh juga diazan atau diiqamat semasa ini. Jika hendak tunggu selepas mandi juga tidak mengapa
Timbang dan ukur panjang bayi
Kemudian bayi diambil untuk ditimbang. Berat bayi yang lahir cukup bulan berada dalam lingkungan 2.5 kg ke 3.8 kg. Bayi dibersihkan dan dimandikan. Bayi dibedung untuk mengelak dia kesejukan. Selepas dilahirkan, bayi tidak dapat mengawal suhu badannya sendiri. Suhu dalam rahim lebih panas berbanding suhu di luar ini. Jika bayi masih kesejukan, bayi akan diletakkan di tempat khas untuk memanaskannya bagi menstabilkan suhu badannya. Bayi perlu menyesuaikan diri dengan suhu yang lebih rendah ini.
Pemeriksaan jenis darah dan rhesus.
Darah bayi diperiksa untuk mendapatkan maklumat kumpulan darah bayi. Kumpulan darah terdiri daripada darah A, B, O dan AB. Selain itu maklumat rhesus juga diperiksa samada positif atau negatif. Kebanyakan adalah jenis rhesus positif. Rhesus negatif hanya dalam lingkungan 3% sahaja. Ia menjadi masalah jika rhesus ibu dan anak yang dikandung adalah berbeza. Biasanya perkara ini sudah dapat dikesan sekiranya ibu menghadapi masalah tertentu ketika mengandung.
Pemeriksaan Apgar
Sejurus selepas bayi lahir ada beberapa ujian dijalankan ke atas bayi untuk memastikan tahap kesihatan bayi. Pemeriksaan ini akan dilakukan oleh doktor atau bidan yang terlatih. Pemeriksaan ini dipanggil Skor Apgar. Ini adalah pemeriksaan rutin untuk semua bayi. Ia dilakukan pada minit pertama dan minit kelima kelahirannya. Ia dilakukan untuk memastikan bayi baru lahir telah bersedia hidup di dunia tanpa bantuan perubatan. Skor diberikan dan jika skor rendah, bantuan akan diberikan.
Pemeriksaan yang dilakukan
Acitivity – aktiviti bayi – memeriksa pergerakan bayi
Pulse – denyutan jantung – samada terdapat denyutan jantung
Grimace – tindak balas reflex – samada terdapat tindakbalas ketika sedutan dilakukan.
Appearance – warna badan bayi. Samada berwarna biru keseluruhan badan, biru di tangan dan kaki sahaja atau keseluruhan badan warna normal.
Respiration – pemeriksaan pernafasan – samada terdapat pernafasan dan tahap pernafasan. Dan pemeriksaan samada bayi menangis pelahan atau kuat.
Pemeriksaan lanjut merangkumi dari hujung kepala ke hujung kaki, mata, mulut, hidung, kulit, pemeriksaan dalaman seperti jantung, spina dan paru-paru, tindakan reflex bayi seperti menghisap dan mencengkam.
Pemeriksaan lain
Jika ada ujian yang tidak dijalankan, boleh minta lakukan ujian tersebut. Mungkin ada bayaran tambahan untuk ujian ini. Contohnya ada hospital tidak melakukan ujian pendengaran. Sebelum bersalin, boleh semak dengan pihak hospital tentang pemeriksaan yang dijalankan untuk memudahkan urusan.
Saringan G6PD
Kekurangan G6PD kerap berlaku dikalangan bayi di Malaysia. Oleh sebab itu, saringan dilakukan selepas bayi lahir untuk memeriksa keadaaan bayi samada mengalami G6PD atau tidak. Saringan kekurangan G6PD dilakukan dengan menggunakan darah daripada tali pusat bayi.
Apakah G6PD
Ia adalah gangguan genetik yang mengganggu sel darah merah yang membawa oksigen ke seluruh badan. G6PD adalah ringkasan dari Glucose-6-Phosphate Dehydrogenase. Kekurangan G6PD berlaku apabila badan tidak mempunyai cukup enzim untuk menghasilkan G6PD.
G6PD membantu sel darah merah berfungsi. Ia bertindak melindungi sel darah pecah (hemolisis) dan melindungi darah daripada bahan yang merbahaya. Apabila berlaku kekurangan G6PD, sel darah tidak dilindungi dan terurai lebih cepat dari kebiasaan. Dalam masa yang sama sel darah yang telah terurai tidak dapat diganti. Sel darah merah terurai lebih awal menyebabkan tahap sel darah merah lebih rendah daripada normal.
Tanda-tanda G6PD kepada bayi
Kekurangan darah mengakibatkan menjadi pucat, mudah letih, sesak nafas, dan degupan jantung yang cepat. Proses hemolisis menyebabkan berlaku jaundis di mana kulit dan mata putih menjadi kekuningan serta air kencing berwarna gelap,. Bayi yang mengalami G6PD berisiko tinggi mengalami jaundis selepas dilahirkan dan memerlukan pemantauan yang rapi dan berterusan. Mereka mudah terdedah kepada jangkitan bakteria dan virus.
Rawatan
Rawatan adalah dengan melakukan pencegahan awal, iaitu dengan mengelak perkara-perkara yang mencetuskan keadaannya. Dengan mengawal masalah yang mencetuskan masalah, dapat mengelak rawatan dan mengawal penyakit daripada berlaku.
- Terdapat senarai ubat antibiotik, ubat penahan sakit dan ubat demam yang tidak boleh diambil
- Tidak boleh mengambil ubat antimalaria
- Elak makan kacang parang untuk mengelak berlaku hemolisis
- Elak naftalena iaitu bahan kimia yang terdapat dalam ubat gegat untuk mengelak berlaku hemolisis
- Elak menghidu debunga daripada tumbuhan
Sekiranya berlaku gejala ringan ia tidak memerlukan rawatan. Namun jika keadaan semakin buruk dapatkan rawatan segera.
Senarai bahan-bahan atau ubat-ubat yang perlu dielak, sila rujuk di sini.
Vaksinasi bayi
Di Malaysia telah ditetapkan syarat bayi hendaklah divaksin mengikut jadual yang ditetapkan. Vaksin-vaksin ini wajib diambil oleh semua kanak-kanak di Malaysia bermula sejak lahir sehingga usia 15 tahun. Pengecualian diberikan kepada kanak-kanak yang tidak boleh mengambil vaksin.
Pada hari pertama sejurus dilahirkan bayi akan di vaksin dengan BCG dan Hepatitis B. BCG adalah Basile Calmette-Guerin, vaksin untuk melindungi bayi dari Tuberkulosis atau dipanggil tibi. Bayi berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan ini dan menyebabkan kematian.
Bayi akan diberi kad vaksin. Pastikan bayi divaksin mengikut jadual ditetapkan mengikut usia dan dos yang telah ditetapkan. Jadual ini dibuat mengikut keadaan penduduk setempat di Malaysia. Terdapat perbezaan vaksin dan dos mengikut negeri seperti di Sarawak yang mendapat vaksin untuk JE. Negara lain, vaksin dan dos akan berbeza-beza mengikut negara berkenaan.