Pemakanan ibu menyusu menentukan kuantiti dan kualiti susu yang dihasilkan. Jadi tidak hairan ada ibu yang mampu menyusukan anak sehingga berusia 2 ke 3 tahun dengan penjagaan makanan yang betul.
Isi Kandungan
Bagaimanakah badan membuat penyediaan?
Semasa hamil, badan sudah mula membuat penyediaan untuk penyusuan susu ibu. Badan mula kumpul lemak di bahagian tertentu badan. Disebabkan ini akan berlaku bertambahan berat badan ketika hamil. Jangan risau dengan bertambahan berat dan jangan cuba kurangkan berat selagi dalam skala normal. Kecuali berat bertambah keterlaluan dan tidak normal.
Selepas bersalin, bekalan susu datang daripada dua sumber iaitu kalori yang disimpan ketika hamil dan kalori tambahan yang diambil dari makanan seharian. Oleh kerana itu, ibu menyusu anak lebih mudah mengurangkan berat badan. Lemak yang tersimpan akan digunakan untuk menghasilkan susu. Ia akan menggunakan 100 ke 150 kalori daripada lemak yang tersimpan dalam badan ibu.
Selepas bersalin, terus mulakan penyusuan badan kepada bayi. Usah risau susu masih belum keluar. Penyusuan ini akan merangsang susu.
Pemakanan Ibu Menyusu
Untuk penghasilan susu, pemakanan ibu menyusu perlu ditambah 300 ke 500 kalori sehari berbanding mereka tidak menyusu bayi. Tambahan ini sama jumlahnya seperti 3 keping roti sehari. Hanya sedikit ya, bukan sepinggan penuh nasi dan lauk-pauk. Pertambahanan ini bergantung kepada berat semasa hamil dan aktiviti yang anda lakukan. Jika berlaku bertambahan yang banyak ketika hamil, tidak perlu membuat tambahan kalori ini.
Sel kilang susu dalam payudara bergantung kepada bahan daripada darah ibu. Walaubagaimanapun, pemilihan diet yang silap atau pengurangan makan harian tidak mempengaruhi kuantiti pengeluaran susu. Tetapi kualiti susu ibu akan terganggu, menurunkan kualitinya. Menjaga pemakanan ibu penting untuk mengekalkan mutu susu dan kesihatan ibu.
Terdapat kawalan kualiti oleh sel kilang susu untuk menyelaraskan jumlah karbohiderat, protein, lemak dan kebanyakkan mineral dalam susu ibu. Jadi komposisi susu ini akan tetap sama walaupun diet ibu tidak seimbang. Hebat badan manusia mampu mengawalnya
Sel ini juga akan menyelaraskan jumlah susu yang dikeluarkan bila kalori diambil ibu rendah. Maknanya kandungan zat dan khasiat tidak berkurang masih pada komposisi yang sama, hanya jumlah susu yang akan berkurang.
Untuk penghasilan vitamin dan sesetengah mineral dalam susu ibu, ianya dipengaruhi oleh pemakanan ibu. Jumlah tiamin, vitamin C, vitamin D dan DHA dalam susu ibu berbeza bergantung kepada makanan dan tambahan diambil.
Jika penyusuan susu ibu telah pun stabil, anda boleh mengurangkan pengambilan kalori secara berperingkat. Jangan mengurangkan pengambilan makanan secara mendadak. Ini akan mengurangkan pengeluaran susu harian. Selain itu, pengurangan secara mendadak boleh menyebabkan pelepasan toksik ke dalam susu.
Makanan ibu menyusu perlu elak
Perut bayi adalah sensitif. Jika tersalah susu menimbulkan masalah kepada bayi. Salah satunya menyebabkan kembung perut. Bayi jadi tidak selesa dan kerap menangis. Apakah makanan ibu menyusu perlu elak? Untuk elak kembung perut bayi, pemakanan ibu menyusu perlulah diambil perhatian.
Makanan yang boleh menyebabkan kembung perut.
- Makanan tinggi serat
- Buah – sitrus, aprikot, prun, pir dan plum
- Sayuran – kangkung, brokoli, asparagus, kailan, karot dan kubis
- Produk tenusu
- Makanan berkanji seperti pasta
Secara asasnya pastikan makanan yang hendak dimakan dimasak terlebih dahulu. Ini termasuk makanan yang boleh dimakan mentah seperti sayur. Terdapat sayur menjadi penyebab berlaku kembung perut samada pada ibu dan bayi. Ini kerana ia sukar dihadam. Untuk mengelak masalah ini, sayuran perlulah dimasak terlebih dahulu. Boleh masak dengan herba-herba seperti jintan atau jintan putih. Herba-herba ini menyebabkan sayuran ini lebih mudah dihadam. Disebabkan masalah ini juga, terdapat pantang larang dalam kalangan masyarakat melayu melarang makan beberapa jenis sayuran ketika dalam pantang.
Tetapi bukan semua jenis makanan atau sayuran menyebabkan masalah kembung perut. Ia bergantung kepada individu. Ada yang tidak mengalami masalah. Untuk mengenalpasti, makan sejenis makanan sahaja waktu makan. Contohnya hari ini makan brokoli sahaja. Perhatikan kesannya kepada bayi. Jika tiada masalah bermaksud itu bukan puncanya. Esok cuba makan kobis dan perhatikan kesan kepada bayi. Lakukan begini sehingga dapat kenalpasti punca kembung. Selepas kenalpasti, elak makanan berkenaann.
Begitu juga makanan dari produk tenusu, mungkin memberi kesan kepada perut bayi. Alahan terhadap protein dalam susu menyebabkan timbul masalah ini. Perhatikan jika selepas minum susu atau ambil produk tenusu bayi ada masalah, hentikan pengambilannya.
Pelbagaikan diet pemakanan untuk elak kembung perut dan alahan makanan kepada anda dan bayi. Diet yang pelbagai memastikan ibu mendapat khasiat sebaiknya. Ini juga dapat memperkenalkan bayi kepada pelbagai rasa, samada ketika semasa hamil atau melaui susu ibu. Bayi ini akan makan pelbagai makanan kelak kerana telah terbiasa dengan makanan ini ketika dalam kandungan ibu dan dalam kandungan susu ibu.
Jika pemakanan ibu menyusu semua telah dijaga, tetapi bayi masih kembung, mungkin ada penyebab lain. Selain pemakanan ibu, terdapat faktor lain juga menyebabkan bayi kembung perut. Ia boleh terjadi jika bayi diberi susu berlebihan. Untuk elak kembung perut bayi cuba kurangkan pemberian susu. Semasa menangis dan menyusu, bayi akan menelan angin. Ia juga boleh menjadi punca.
Minuman Ibu Menyusu
Anda digalakkan minum air secukupnya untuk memastikan pengeluaran susu cukup. Jangan minum secara berlebihan, ironiknya kerana ia boleh menyebabkan susu berkurang. Apabila minum berlebihan buah pinggang akan mengeluarkan air berlebihan daripada badan. Anda akan kerap kencing. Jika anda minum dengan banyak dan susu berkurang, cuba kurangkan pengambilan air. Andai susu kembali normal, ini bermakna anda telah minum secara berlebihan.
Jumlah air yang perlu diambil bergantung kepada saiz badan, berat dan cuaca. Jangan tunggu sehingga rasa dahaga. Ada kala rasa dahaga menyebabkan berlaku salah sangka. Apabila dahaga, badan memberitahu otak berlaku kekurangan dalam badan. Anda pula mentafsirkan ini sebagai kelaparan. Jadi anda mengambil makanan, sedangkan anda kekurangan air. Namun, jika sentiasa rasa dahaga dan rasa dahaga keterlaluan, ini mungkin tanda akekurangan Essential Fatty Acids(EFAs) seperti omega 3, Alpha-Linolenic atau Linoleic acid.
Warna air kencing di waktu pagi memberi petunjuk samada minum cukup atau tidak. Namun warna ini mungkin dipengaruhi oleh apa yang kita ambil. Contohnya pengambilan suplemen vitamin menyebabkan warna lebih gelap. Warna air kencing kuning cair ke lutisnar menunjukkan cukup air. Air kencing berwarna kuning pekat dan berbau menunjukkan badan memerlukan lebih air. Air kencing tanpa warna menunjukkan anda minum terlalu banyak air.
Minuman mengandungi kafein seperti kopi, coklat dan teh boleh menyebabkan berlaku kembung perut. Perhatikan keadaan selepas mengambil minuman ini.
Mental ibu menyusu
Selain menjaga pemakanan ibu menyusu, mental juga mempengaruhi pengeluaran susu. Pengeluaran susu dikawal oleh hormon dalam badan.
Hormon Prolaktin yang dirembeskan oleh kelenjar pituitari di dalam otak untuk menghasilkan susu. Hormon ini dibantu oleh hormon Oksitosin yang dikenali hormon kasih sayang. Ia membantu pengeluaran susu. Kedua-dua prolaktin dan oksitosin membantu emosi ibu dan bayinya bagi menghasilkan susu. Prolaktin meningkat apabila bayi menyusu.
Jadi adalah penting juga ibu rasa tenang ketika menyusu dan tidak risau susu tidak cukup. Kerisauan hanya memburukkan keadaan. Ada masa susu berkurang kerana keperluan bayi bertambah. Sebenarnya bukan susu berkurang. Susu akan semakin bertambah kerana prolaktin akan bertindak balas. Jangan sesekali tambah dengan susu formula. Ia akan memburukkan keadaan dan susu akan berkurangan.
Amalkan pemakanan ibu menyusu mengikut keperluan badan sendiri. Bertenang dan fikirkan yang anda mampu menyusu sehingga cukup umur anak.
Resepi Susu Kurma Badam Madu
Bahan-bahan
- 2 cawan susu penuh krim atau susu rendah lemak
- 1 genggam kacang badam
- Buah kurma (ambil bilangan ganjil, 5, 7 atau 9
- 3 sudu besar makan madu
Cara buat
- Rendam kacang badam selama 5 jam atau lebih.
- Buang biji kurma dan rendam.
- Kisar badam yang direndam bersama airnya sehingga lumat.
- Tapis dan ambil airnya sahaja.
- Kisar air tapisan badam bersama kurma, susu dan madu sehingga lumat. Boleh tapis jika perlu.
- Masukkan ke dalam botol dan sejukkan.
- Sedia untuk diminum.
Susu kurma badam sesuai diminum untuk menambahkan susu. Ada pelbagai lagi resepi susu kurma yang lain. Boleh rujuk resepi di sini.