Dalam keterujaan menyambut bayi, terdapat amalan cara sambut bayi baru lahir untuk dilakukan oleh ibu ayah. Amalan-amalan menyambut bayi mengikut Islam ini meneruskan dididikan kepada bayi yang telah mula dididik sejak dalam kandungan.
Apakah yang perlu dilakukan sebaik sahaja bayi dilahirkan?
Isi Kandungan
Cara Sambut Bayi Menurut Islam
Indahnya Islam, bayi baru lahir telah diperkenalkan dengan adab-adab dalam Islam sejurus sahaja dilahirkan. Amalan ini mengajarkan tentang keimanan. Antara amalan pertama dilakukan adalah azankan bayi baru lahir. Ini merupakan syiar Islam dan terus diperkenalkan kepada bayi baru lahir. Kemudian melakukan tahnik. Islam turut mengajar, uri bayi ditanam dengan sempurna.
Azan dan iqamat
Perkara pertama selepas bayi dilahirkan ialah membacakan azan dan iqamat ke telinga bayi. Dalam mazhab Syafie, hukum melakukan azan di telinga bayi baru dilahirkan adalah sunat. Sebaiknya sejurus selepas dilahirkan, bayi diazan dan diiqamatkan sebelum dimandikan. Namun ia juga boleh dilakukan selepas bayi dimandikan. Azan di telinga kanan bayi dan iqamat di telinga kiri bayi. Sebaiknya dilakukan oleh ayahnya.
Tujuannya agar kalimah ini menjadi perkataan pertama yang didengari oleh bayi. Bayi normal dilahirkan dengan pendengaran yang terus berfungsi tidak seperti mata yang masih belum boleh melihat dengan sempurna. Selain itu, ia juga bertujuan mengingatkan perjanjian di alam roh antara manusia dan Allah s.w.t.
Perjanjian ini ada dinyatakan dalam Surah Al-Araf ayat 172.
Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): “Bukankah Aku tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini”.
Anak ini telah dididik sejak awal dengan kalimah tauhid agar membesar dalam suasana mengikut syariat Islam. Syaitan akan berada disekeliling bayi baru lahir ini, dengan cara azan dapat mengusir dan menghalang gangguan syaitan-syaitan ini. Terdapat perselisihan pendapat mengenai azan bayi baru lahir ini. Namun selagi memberi manfaat ianya boleh dilakukan.
Cara azankan bayi lelaki dan perempuan terdapat sedikit perbezaan. Di bawah dijelaskan cara-cara melakukannya.
Cara Azan Bayi Lelaki
- Angkat bayi separas mulut atau posisi yang selesa.
- Halakan mulut ke telinga kanan bayi. Selesa dipendengaran bayi
- Azan dengan nada sederhana, jangan terlalu kuat
Cara Azan Bayi Perempuan
- Angkat bayi separas mulut atau posisi yang selesa.
- Halakan mulut ke telinga kanan bayi
- Azan dengan nada sederhana. Selesa dipendengaran bayi
- Alih ke mulut ke telinga kiri bayi
- Iqamat
Amalan Tahnik
Seterusnya adalah dengan bertahnik. Tahnik bermaksud membelah mulut bayi dengan buah tamar/kurma yang dikunyah dan digosokkan ke lelangit bayi, dan sebahagiannya lagi ditelan oleh bayi masuk ke dalam perutnya. Mentahnik bayi adalah satu sunnah nabi.
Hikmah tahnik bayi
Bertahnik bagus untuk menguatkan saraf mulut bayi. Ia membantu mempersiapkan bayi untuk menghisap susu. Kunyahan daripada orang soleh atau ayah ini diharap dapat mengikat hati anak mengikut tingkah laku mereka.
Cara bertahnik
Sunat tahnik bayi dengan buah kurma. Jika tiada tamar boleh ganti dengan buah-buahan manis yang lain atau madu. Bayi sunat ditahnik pada hari dia dilahirkan. Namun jika tidak dapat dilakukan pada hari kelahiran boleh lakukan kemudian hari. Kunyah sedikit kurma sehingga lembut dan suapkan ke mulut bayi menggunakan jari telunjuk. Sapukan ke seluruh lelangit bayi. Tunggu bayi menghisap manisan kurma di jari. Selepas itu berdoa untuk bayi. Ini dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w. ketika mentahnik Abdullah bin Zubair, anak kepada Asma binti Abu Bakar.
Ulama berpendapat bayi baru lahir sunat dibawa menemui kalangan orang yang soleh dan bertakwa. Minta mereka mentahnik bayi dan mendoakannya. Ini sebaiknya. Namun tahnik boleh juga dilakukan oleh bapa, kaum keluarga, sahabat atau jiran yang berakhlak mulia. Sediakan kurma dan bawa bersama ketika ke hospital. Selain untuk tahnik boleh dimakan oleh ibu untuk memberi tenaga.
“Aku membawa Abdullah bin Abu Talhah al-Ansari RA yang baru lahir menemui Rasulullah SAW. Baginda bertanya: “Adakah kamu membawa tamar?” Aku menjawab: “Ada,” lalu aku serah beberapa biji tamar. Baginda pun masuk tamar ke dalam mulut dan mengunyahnya. Kemudian, baginda membuka mulut Abdullah dan memasukkan tamar tersebut. Bayi itu pun menggerak-gerakkan lidah sambil menghisap manisnya. Kemudian, Rasulullah SAW bersabda: “Kesukaan orang Ansar ialah buah tamar. Lalu Baginda menamakannya Abdullah.” Riwayat Muslim
Tanam uri
Uri atau plasenta, dipanggil juga sebagai tembuni dalam masyarakat melayu, adalah organ yang menghubungkan bayi kepada ibunya semasa dalam kandungan. Khasiat makanan dan darah disalurkan melalui tali pusat daripada uri kepada bayi. Selepas dilahirkan tali pusat bayi dipotong untuk memisahkan dengan uri. Kemudian uri ini akan dikeluarkan daripada rahim ibu. Uri ini adalah suci dan bukan najis.
Dalam Islam uri sunat ditanam sebagai menyempurnakannya. Para ulama ada berpendapat menanam uri sama seperti menanam angota badan yang terpisah seperti rambut, kuku dan sebagainya. Namun jika tidak ditanam perbuatan ini tidak berdosa.
Hikmah menanam uri
Selepas bayi dilahirkan ada sesetengah ibu bapa meninggalkan uri di hospital atau membuangkannya ke dalam tong sampah. Buang merata-rata dikhuatiri uri akan dimakan oleh binatang-binatang liar. Selain itu, ia bertujuan untuk mengelak perbuatan yang tidak elok seperti disihir menggunakan uri ini. Uri mungkin digunakan untuk bahan-bahan kosmetik.
Cara urus uri
Selepas bersalin pihak hospital akan berikan uri kepada ahli keluarga. Jika tidak diberi, minta untuk dibawa pulang. Sebelum ditanam, uri ini dibersihkan terlebih dahulu. Ada sesetengah pihak hospital yang telah membersihkannya jadi boleh terus ditanam. Tanam sedalam 1 kaki. Tujuannya agar tidak dikorek dan dimakan oleh binatang.
- Cuci uri dengan air
- Bersihkan darah dengan garam dan asam jawa.
- Cuci sehingga darah bersih
- Bungkus dalam kain
- Tanam sedalam 1/2 meter atau lebih. Timbus dengan tanah. Tujuannya agar tidak dikorek dan dimakan oleh binatang
Terdapat amalan seperti menanam uri dengan sesuatu barang seperti garam, buku atau pen, kononnya sebagai peneman uri, dengan harapan bayi akan membesar mengikut apa yang ditanam bersama uri. Ini merupakan amalan yang salah dan tidak dibernarkan. Perbuatan ini adalah khurafat dan boleh membawa kepada syirik kerana mempercayai peneman itu yang menentukan masa hadapan bayi. Sedangkan jelas benda-benda itu tidak dapat membantu.
Amalan-amalan lain dalam Islam termasuklah melakukan aqiqah, bercukur rambut, berkhitan/berkhatan atau bersunat. Semoga ianya memberi manfaat kepada bayi dan keluarga.