Bayi mati tersedak susu

Ummp berita mengejutkan beberapa hari lalu.:( Takziah buat Pn Noor Sarima Ruslan yang kehilangan bayinya yang berusia 3 bulan, sama usia anak saya Dafinah. Pada saya kejadian seperti ini berlaku kerana kelalaian penjaga bayi. Perkara ini takdir Allah, namun ia dapat dielak jika mereka prihatin terhadap pekerjaan mereka, terutama menjaga anak kecil yang terlalu daif untuk menjaga diri sendiri. Telah beberapa kali mendengar kes begini.

Dalam tip yang lalu saya ada sertakan cara untuk sendawakan bayi. Ini penting untuk elak masalah tersedak susu. Biasanya jika saya lihat bayi saya tidak selesa, ,mengeliat atau sedang tersedak, saya pasti angkatnya dengan segera, tinggikan kepalanya dan tepuk dengan lembut di belakangnya sambil berdehem-dehem. Saya perhatikan ada juga ibu-ibu yang tidak mengetahui bahaya jika bayi tersedak dan membiarkannya terus terbaring. Kerana itu penting bagi ibu-ibu untuk mempelajari cara penjagaan bayi ini.

Teringat saya ketika mencari penjaga untuk anak sulung saya. Selang beberapa bulan atau setahun pasti bertukar penjaga kerana saya amat cerewet mengenai penjagaan anak-anak saya. Jika saya dapati anak-anak saya tertekan, menangis-nangis tidak mahu ke nurserinya, saya pasti tukar kerana jelas dia tidak gembira dengan layanan di situ. Kebersihan tidak dijaga, saya akan tukar nurseri juga.

Letak di rumah orang, juga bermasalah. Ketika itu anak saya asma, jadi tidak boleh bau asap rokok akan sakit. Ada juga seorang penjaga meminta izin saya untuk suaminya menjaga anak-anak saya dan dia ingin berniaga. Ummmp, nak suruh orang laki jaga sedangkan anak sendiri pun dia tak jaga. Anak saya nakal, pasti ugut nak ikat kaki anak saya. Saya pun amat tertekan mendengarnya, apatah lagi anak saya yang baru berusia 3 tahun ketika itu. Cari pembantu rumah, dah jadi satu kerja pula saya terpaksa balik buat pemeriksaan mengejut untuk pastikan anak saya selamat kerana keliling rumah saya tiada jiran.

Oleh sebab saya terlalu cerewet, ketika bersalin anak ke-3 saya buat keputusan untuk berhenti kerja. Saya tidak sanggup rasa susah hati memikirkan bagaimana kehidupan anak-anak saya bersama penjaga dan tidak tahu apa yang berlaku padanya. Lagipun saya ingin mendidik anak-anak saya dengan cara saya. Tentu pening anak saya, siang dan malam lain penjaga lain caranya.

Namun ada kala kita telah menjaganya dengan teliti jika perkara begini terjadi, inilah suratan yang telah Allah takdirkan pada kita. Terima dengan redha.

Penjagaan bayi baru lahir II

Bersambung lagi minggu ini

Saya tuam perut bayi selepas mandi sebelum pakai baju. Saya guna kain lampin dan panaskan guna seterika. Cuba dulu pada tangan kita sebelum letakan pada bayi. Tuam ari-ari dan perutnya. Bagus untuk elak kembung perut dan angin pasang. Namun dalam cuaca yang amat panas, saya tak buat.

Selepas menyusu bayi, sendawakan dia. Ada 2 cara iaitu dudukkan dia atau letakan dia atas bahu kita kemudian tepuk/urut belakangnya dengan lembut sehingga dia sendawa. Ini bagus untuk elak kembung perut dan terjeluak. Ini akan menyebabkan dia tidak selesa tidur. Tengah tidur akan terjaga dan nampak gelisah. Bahaya juga jika sedang terbaring boleh menyebabkan lemas dan susu masuk ke dalam paru-paru.

Bedung semasa tidur. Bayi tidur lena jika dibedung. Bayi baru lahir akan tersentak-sentak ketika tidur tanpa sebab dan menyebabkan dia terkejut dari tidur. Bedung akan mengurangkan dia terkejut, jadi tidurnya tidak terganggu. Bayi juga selesa kerana terasa kemas seperti berada dalam perut ibunya. Saya akan terus bedung sehingga usia 3,4 bulan. Tapi selepas sebulan saya tidak bedung di kaki, biarkan terbuka. Kalau bedung keseluruhan dia tidak selesa juga dan panas.

Percaya tak bayi sebenarnya boleh beri tahu apa dia nak. Masalahnya kita tak faham. Dulu pernah tengok dalam Oprah, bayi ada bahasa dia. Ada pakar bahasa bayi yang datang. Kalau bayi bunyi egg, dia nak apa. Saya pun dah lupa contoh yang diberi. Bayi saya ni saya cuba faham ikut kebiasaannya. Contoh menangis sebut ‘aighr’ nak susu, ‘akut’ siap angkat badan dia tanda nak suruh angkat dia. Kalau tak betul dan kena dengan kehendak dia, pujuk macam mana pun dia akan menangis. Bila dah tukar lampin contohnya, dia diam boleh biar dia baring main atas tilamnya.

Kebiasaannya sukar nak tentukan kenapa menangis. Contohnya tengah berikan susu, nampak gelisah, cuba tengok lampin. Jika ok, cuba angkat dulu bayi dan sendawakannya. Kadang dia rasa kurang selesa sebab angin dalam perut nak keluar. Ada kala perkara tak dijangka seperti bahagian jari atau badan yang lain dalam kesakitan seperti terbelit rambut.