Puasa untuk ibu hamil dan menyusu susu ibu II

Esok, Sabtu dah diumumkan hari pertama untuk kita berpuasa. Hari ini bersambung tip-tip untuk ibu menyusu susu ibu ketika puasa

Selepas berbuka puasa dan malam

  • berbuka dengan air yang berkhasiat seperti jus buah-buahan segar, yogurt atau air barli. Ini bertujuan agar anda mendapat air dan khasiat serentak dalam satu minuman.
  • Sepanjang waktu selepas berbuka ke sahur, cuba minum 8 ke 12 gelas air jus buah, susu atau air berkhasiat. Namun jangan pula kenyang dengan minum air pula, anda perlu mendapat khasiat, kalori dari makanan. Anda perlu makan 400 ke 500 kalori tambahan sehari untuk menyusu bayi. Sukar mendapatkan dalam satu malam dan mungkin menyebabkan berat badan turun.
  • Ketika bersahur, makan makanan yang mempunyai kadar index glycemic (GI) yang rendah. Tujuannya adalah untuk melambatkan proses penghadaman karbohiderat dalam gula dalam darah. Makanan ini adalah seperti mee, nasi dan kebanyakan sayur-sayuran.

Semasa berpuasa, ibu-ibu masih boleh mengeluarkan susu namun kandungan lemak dalam susu ibu mungkin berkurang. Ini tidak menjadi masalah. Namun bayi mungkin akan cepat lapar dan ingin kerap menyusu. Kena pastikan diet mendapat lemak yang mencukupi.

tanda yang perlu diperhati pada ibu

  • Badan kekeringan. Anda akan mungkin berasa dahaga dan kekeringan. Anda akan tahu anda kekeringan(dehidrat) jika anda menjadi terlalu dahaga, kencing berwarna kuning pekat dan berbau kuat,
  • Rasa pening, pitam, penat, lemah, sakit kepala atau demam.

Jika anda alami tanda-tanda ini, anda patut berbuka puasa segera dengan minuman berkhasiat seperti jus buah atau susu soya. Dan berehat. Jika masih belum sihat selepas ½ jam hubungi doktor anda untuk pertanyaan.Tanda yang perlu diperhati pada bayi

  • Kurang kencing, najis berwarna kehijauan
  • menangis lantang dan berpanjangan
  • hilang berat badan atau tidak bertambah berat
  • masih kelaparan selepas menyusu.

Jika masalah begini cuba berbincang dengan paediatrician atau doktor anda mengenai bayi andaPerlulah atur kerja seharian anda. Lakukan kerja yang memerlukan lebih banyak tenaga ketika anda tidak berpuasa sama ada di sebelah malam atau sebelum bersahur. Berehat sebanyak yang anda boleh.

Pengalaman saya mengandung dan penyusuan susu ibu ketika berpuasa.
Sebelum ini ketika mengandung, semuanya telah melepasi 4 bulan dan saya tidak mengalami masalah untuk berpuasa. Namun perlu pastikan bersahur. Jika tertinggal sahur, tengah hari saya akan kepenatan yang amat. Saya biasanya terpaksa berbuka puasa.

 

Ketika menyusu susu ibu, anak-anak saya ketika itu dah lepas 6 bulan. Memang susu agak berkurangan apabila menjelang petang. Anak-anak saya sudah boleh makan, boleh berikan makanan pejal. Tetapi masih alami kesukaran kerana bayi saya masih ingin menyusu, jadi ada masa dia akan meragam juga. Alhamdulillah saya tidak pernah alami masalah sehingga terpaksa berbuka puasa.

Puasa untuk ibu mengandung dan menyusu

Kita bakal berpuasa hari Sabtu ini, bagaimana persediaan menyambut puasa? Bulan mulia yang datang setahun sekali ini memang bulan yang dinanti. Bulan untuk kita beribadat, di mana ibadat kita diberi pahala berlipat ganda berbanding bulan-bulan lain. Terasa rugi jika tidak berpeluang melakukannya. Sikit mukadimah pra Ramadan.

Untuk bulan puasa, kedai saya akan dibuka pukul 10 pagi dan tutup 5 petang. Pesanan secara online seperti biasa, penghantaran akan dibuat setiap hari mengikut pesanan.

Baru-baru ini ada seorang ibu datang mencari produk untuk menambah susunya. Bayinya baru 3 bulan. Dia agak risau susunya tidak mencukupi.

Dalam Islam, mengikut mazhab Imam Syafie, ibu yang mengandung atau ibu yang menyusu boleh berbuka puasa. Terdapat 2 hukum iaitu berbuka kerana bimbang kesihatan dirinya akan terjejas atau berbuka kerana bimbang kesihatan anaknya.

Sekiranya ibu itu berbuka puasa kerana takut berlaku kemudharatan pada dirinya disebabkan puasanya itu, maka wajib bagi ibu itu untuk qodo’ puasanya sahaja sebelum tibanya Bulan Ramadhan yang akan datang. Berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh At Turmuzi (715) dan Abu Daud (2408) dan selainnya, dari Anas Al Ka’bi radiallahu anhu, telah berkata Rasulullah S.A.W : sesungguhnya Allah S.W.T telah mengangkat puasa orang yang bermusafir (dibolehkan berbuka) dan telah mengurangkan solatnya (boleh diqosorkan solatnya itu), dan diangkat puasa(boleh berbuka) orang yang hamil dan menyusukan anaknya.
Maksud mengurangkan solat ialah memberi kelonggaran mengurangkan rokaat solat dan adapun yang dimaksudkan dengan diangkat puasa bagi ibu yang hamil dan menyusukan anaknya itu ialah dibenarkan berbuka dengan menggantikan puasanya itu.

Sekiranya ibu itu berbuka kerana bimbang kesihatan anaknya dan takut kandungannya gugur jika dia berpuasa, ataupun takut susunya akan berkurangan dan membahayakan anaknya, maka wajib bagi ibu itu untuk berbuka dan qodho’ puasanya itu dan dikenakan fidyah iaitu bersedekah satu cupak dari makanan asasi bagi hari yang dia berbuka.

Terdapat pelbagai pendapat mazhab lain, ada yang menyatakan cukup membayar fidyah tanpa menggantikannya. Namun kita di Malaysia mengamalkan mazhab Imam Syafie jadi masih perlu menggantikan puasa.

Ketika berpuasa untuk ibu mengandung dan menyusu, penting mengambil makanan yang mencukupi dan seimbang. Bersahur pada lewat waktu menghampiri Subuh. Pastikan makan seimbang ketika bersahur. Biasanya kita kurang berselera makan ketika sahur, cuba pastikan makan dan minum secukupnya.

Tip-tip untuk ibu mengandung

Berbuka puasa apabila masuk waktu. Jangan tunggu. Lagipun sunat berbuka awal. Selepas itu pastikan minum dan makan sepanjang malam (mengikut sela waktu kesesuaian badan) untuk elak kekeringan. Makan makanan yang melepaskan tenaga secara perlahan seperti kurma ketika berbuka. Elak makanan bergula yang meningkatkan tahap gula dengan cepat dan ia juga akan turun dengan cepat, jadi ini boleh menyebabkan anda pitam dan pengsan. Dapatkan protein mencukupi dari kekacang, telur dan daging masak sepenuhnya.

Tanda-tanda yang patut anda perhatikan
-rasa nak pitam, penat atau lemah. Cuba berehat ½ jam, namun jika masih tidak berkurang tanya pendapat doktor anda.
- rasa loya dan muntah
- perubahan pada pergerakan bayi
- terasa dahaga dan warna air kencing menjadi gelap dan berbau kuat. Tanda kekeringan
- terasa kontraksi yang sakit
- mengalami sakit kepala atau demam

H1N1 ancaman kepada ibu hamil

Petikan dari akhbar Utusan Malaysia

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL

KALI terakhir dunia diserang wabak pandemik influenza A ialah dalam tahun 1918. Wabak yang melanda selama lebih kurang dua tahun itu dikenali sebagai Spanish Flu telah menyebabkan kematian lebih 50 juta manusia di seluruh dunia.

Kini wabak daripada virus yang sama iaitu H1N1 daripada jenis influenza A kembali menjadi pandemik yang membimbangkan penduduk dunia.
Salah satu golongan berisiko tinggi untuk dijangkiti penyakit ini ialah ibu mengandung.
Terdapat beberapa faktor mengapa ibu mengandung dikategorikan sebagai berisiko untuk terkena jangkitan virus H1N1.

Pakar perbidanan dan sakit puan Pusat Perubatan Kelana Jaya, Dr. S. Silvam berkata, ketika mengandung lazimnya pernafasan wanita terbabit akan berubah berbanding wanita normal.
“Ketika mengandung, rahim akan mengembang dan meningkatkan tekanan pada bahagian usus sekali gus menyebabkan pengembangan diafram (bahagian antara paru-paru dan perut) terhad dan membuatkan nafas tersekat-sekat (pendek).

“Keadaan akan menjadi bertambah buruk jika wanita hamil tersebut dijangkiti H1N1 yang lazimnya akan menyerang sistem pernafasan dengan memasuki bahagian kerongkong pesakit,” jelasnya ketika ditemui di kliniknya yang terletak di Kelana Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Selain itu, menurut Dr. Silvam sistem imuniti (kekebalan tubuh) bagi ibu mengandung juga rendah menyebabkan mereka mudah terdedah dan mendapat jangkitan penyakit termasuk H1N1.
Jadi walaupun seorang ibu mengandung itu berada dalam tahap kesihatan yang memuaskan mereka tetap berisiko untuk dijangkiti kuman kerana kuasa daya lawan penyakit kurang ketika mengandung.

Dr. Silvam berkata, apabila ibu mengandung berhadapan dengan masalah kesihatan, doktor yang merawat akan lebih berwaspada untuk memberi ubat-ubatan kerana takut mendatangkan kesan negatif kepada bayi dalam kandungan.

“Dalam tiga peringkat mengandung, pertama, kedua dan ketiga trimester, peringkat pertama dan ketiga perlu diberi perhatian. Peringkat ketiga mengandung lebih berisiko untuk mendapat jangkitan dan kesannya sehingga boleh menyebabkan kematian.

“Di Amerika Syarikat, setakat ini sudah lebih 300 kematian akibat H1N1 dan antara lima dan enam peratus mangsa adalah daripada kalangan ibu mengandung.

“Perlu diingatkan juga bahawa wabak ini masih belum menemui penawarnya justeru langkah pencegahan sebelum terkena amatlah penting,” katanya.

Sehubungan itu kata beliau, ibu mengandung dinasihatkan jangan pergi ke tempat yang menjadi tumpuan ramai orang kerana dikhuatiri akan mengalami jangkitan daripada orang yang tidak dikenali.

Sekiranya terdapat sedikit simptom seperti demam, selesema, sengal-sengal sendi dan sebagainya, sebaiknya mereka mengasingkan diri (kuarantin) di rumah dan pakai penutup hidung dan mulut untuk mengelakkan daripada menjangkiti ahli keluarga lain.

“Kurangkan mencium anak-anak lain dan mesti buang topeng, tisu bekas hingus dan batuk ke tempat yang tertutup,” jelasnya.

Rawatan
Dr. Silvam menerangkan apa yang penting ialah setiap ibu mengandung tidak perlu panik apabila muncul simptom sebaliknya segera berjumpa doktor bagi mendapatkan pengesahan tentang sama ada mereka telah terkena jangkitan.

“Pengesahan boleh dilakukan melalui ujian dengan mengambil sampel air liur untuk dihantar ke makmal.

“Rawatan profilaksis atau cara untuk mengelak daripada terkena jangkitan dengan menggunakan antiviral juga boleh diberi kepada ibu mengandung.

“Virus ini masih tiada ubatnya dan apa yang perlu dibuat ialah menjaga kebersihan diri sebaik mungkin,” katanya.

Selain itu, Dr. Silvam menambah, apa yang perlu ditekankan ialah pentingnya pemahaman tentang penyakit ini.

Apabila simptom Influenza A H1N1 ini terjadi kepada wanita hamil, doktor akan memberikan rawatan secara simptomatik iaitu rawat satu persatu masalah mereka.

“Jika demam, maka doktor akan merawat demam hingga baik. Jika demam terlalu tinggi memang akan membahayakan ibu dan bayi tetapi ibu akan dirawat dengan memberikan beberapa dos paracetamol.

“Begitu juga jika selesema dan batuk. Jika simptom terjadi pada trimester pertama kandungan, doktor akan lebih berhati-hati dalam memberi ubat kerana khuatir risiko ubat kepada bayi.

“Tetapi kalau selesema si ibu agak teruk maka mereka perlu dirawat dengan ubat yang diberi nama Tamiflu dan Revenza,” jelasnya lagi.

Sewaktu kelahiran dan penyusuan bayi

Dr. Silvam berkata, jika simptom H1N1 terjadi kepada ibu yang hendak bersalin perkara paling tidak digalakkan oleh doktor ialah memberi ubat mempercepat kelahiran (induce). Ini kerana induce akan menyebabkan bayi mudah dijangkiti virus.

“Sebaiknya ibu perlu melahirkan bayi secara normal apabila tiba masanya. Ketika meneran untuk bersalin sudah tentu ibu yang mempunyai simptom tidak boleh memakai topeng (penutup hidung dan mulut), jadi orang di sekeliling mestilah mengambil langkah keselamatan dengan memakai topeng dan basuh tangan dengan bersih.

“Dalam tempoh 72 jam selepas ibu melahirkan dan menerima rawatan, ibu tersebut dianggap tidak menyebarkan virus tetapi langkah pencegahan kebersihan masih perlu diikuti dengan teliti. Sebagai contoh menutup mulut ketika batuk dan cuci tangan dengan kerap,” jelasnya.

Dr. Silvam berkata, sebaiknya ibu yang baru melahirkan memberikan susu badan kepada bayi mereka dan jangan berhenti kerana susu ibu banyak antibodi yang membantu menguatkan ketahanan bayi daripada dijangkiti penyakit.

“Virus H1N1 tidak akan berjangkit menerusi susu ibu. Yang penting amal langkah berjaga-jaga, jangan terlalu dekat dengan orang lain dan jika ada sentuhan pastikan tangan dicuci dengan bersih,” ujarnya.

Ransang Minda Bayi Anda

Bayi 0 ke 6 bulan.
Ketika ini bayi suka warna terang, baru belajar memusatkan perhatian, memalingkan muka, bertindakbalas kepada bunyi atau suara dan belajar mengacah.

Ketika ini untuk merangsang bayi, dinding di cat warna atau ditampal kertas dinding yang terang atau bercorak. Untuk mainan, letakkan mainan berbunyi berhampiran dengan bayi dan mudah dicapai bayi. Letakkan cermin muka (pastikan selamat untuk bayi, ada dijual dipasarkan) di tepi katil jadi bayi boleh menoleh melihat wajahnya sendiri. Bercakap-cakap dengan bayi serta memberi reaksi kepada bayi apabila berkomunikasi dan perkenalkan objek di sekelilingnya.

Bila bayi mula mengacah, lihat dan dengar dengan penuh minat serta balas. Ajak dia berkomunikasi bila dia diam. Bermain-main dengan menyentuh tangannya pada hidung, mulut atau matanya. Letakkan bayi di tempat dia mudah melihat ibu dan ayahnya. Bagi kita orang islam pendengarkan ayat-ayat Al-Quran serta zikir.

Bayi 6 ke setahun

Bayi ketika ini sudah boleh mencapai, memegang dan membaling benda, mula menganli orang, boleh merangkak dan duduk tanpa sokongan. Bercakap-cakap bahasanya, bermain, memahami arahan mudah dan minat pada persekitaran.

Untuk rangsangan, biarkan bayi merangkak bebas di pelbagai permukaan. Perbuatannya ketika ini jangan dilarang, namun perlu perhatikannya. Jika dia memasukkan sesuatu dalam mulut pastikan barangan itu tidak berbahaya. Berikan dia teething ring yang selamat.

Biasakan anak-anak dengan buku. Saya suka bacakan buku kepada anak-anak ketika ini. Kadang-kadang sukar menyuruh bayi saya duduk diam atau kadang-kadang dia meragam dalam kereta, saya akan baca buku cerita. Dia akan diam. Sampai dibahagian yang dia suka, dia akan ketawa.

Elakan penggunaan negatif seperti jangan. Gunakan perkataan positif.

Rujukan – Anak Kita Memang Pintar Cergas oleh Hasan Mohd Ali. Buku ini boleh didapati di www.mamadamia.com

Tip elak sembelit dan kepenatan ketika mengandung

Minum dengan mencukupi iaitu 11 ke 12 cawan air sehari. Jumlah ini biasanya diperolehi daripada minuman dan makanan yang diambil setiap hari. Ibu-ibu akan cuba minum dengan banyak mengikut keperluan kerana mekanisme dalaman memberi isyarat ‘ Saya dahaga” apabila badan kekurangan cecair. Namun mekanisme dalaman ini kadang-kadang tidak memberi isyarat yang cukup. Wanita mengandung yang terdedah kepada cuaca yang panas mungkin gagal mengesan untuk mendapat cecair yang mencukupi jika mereka bergantung pada isyarat tadi. Wanita yang muntah perlu mendapatkan cukup cecair. Mereka perlu dapatkan dari air dan jus. Ini akan mengekal tenaga dan elak kekeringan.

Beberapa hari lepas saya agak teruk, kepenatan. Setiap malam muntah. Ahad saya berjumpa doktor. Saya dah agak pilihan yang ada adalah masukan air (drip). Doktor suruh saya minum dengan banyak pun dapat membantu. Saya terlupa, saya memang kurang minum air. Ketika saya bekerja di pejabat dahulu, saya akan bawa 3 liter air dan pastikan habis minum apabila pulang. Air di atas meja dan saya bekerja di satu tempat, jadi setiap beberapa ketika saya pastikan saya minum. Sekarang keadaan berbeza, saya sibuk bergerak. Saya lupa minum air, cuaca pula panas. Selepas minum dengan banyak, saya segar dan kurang kepenatan.
Sembelit adalah perkara biasa ketika mengandung. Untuk elak sembelit pastikan ambil makanan berkandung fiber yang tinggi. Sumber fiber adalah dari bijirin seperti bran, oatmeal, conflakes dan roti whole-wheat, buah-buahan seperti mangga, epal, pear, strawberi atau pisang, sayur-sayuran seperti jagung, ubi kentang, brocoli, karot, kacang hijau, terung dan sayur hijau. Pilih sumber yang anda suka dan boleh memenuhi diet anda. Anda akan tahu anda mendapat fiber yang mencukupi jika najis anda lembut. Namun jika berlebihan fiber mungkin mengalami cirit birit. Dan anda juga akan alami sembelit jika mendapat fiber yang cukup tetapi kurang air. Ini kerana air akan membantu pembuangan lebih lancar. Kadang-kadang kita rasa dah ambil buah atau sayur dengan banyak namun masih sembelit. Cuba minum mencukupi.