Tandem nursing

Jika anda mengandung dan anak masih belum cerai susu, dan berniat untuk teruskan penyusuan. Anda boleh teruskan penyusuan jika tiada masalah. Ini adalah “tandem nursing’. Ada ibu alami kontraksi kesan penyusuan ketika mengandung, jika ini berlaku perlu dapatkan nasihat doktor.

Ibu yang melakukan ‘tandem nursing’ ketika mengandung perlu dapatkan khasiat yang mencukupi untuk kehamilannya dan penyusuan sedia ada. Perlukan dapatkan kalsium dan zink yang cukup untuk penyusuan dan zat besi, asid folik dan protein yang mencukupi untuk kehamilan.

Selepas bayi dilahirkan, susui dahulu bayi baru lahir. Selepas bayi telah kenyang baru boleh menyusu anak yang lebih besar.

Bayi kerap menyusu susu ibu

Kenapa bayi kerap menyusu susu ibu 2 kali ganda berbanding bayi lain?

Ada bayi kerap menyusu susu ibu. Jika banding dengan bayi kawan anda yang turut menyusu susu ibu, bayi anda mudah lapar dan kerap perlu menyusu semula.

Setiap bayi itu berbeza. Ada bayi cekap dan menyusu sepenuhnya. Ada bayi cepat penat dan berhenti sebelum kenyang. Ada ibu tidak dapat menyimpan susu dengan cukupnya, jadi perlu kerap memberi susu. Kekerapan ini juga bagus kerana bekalan susu akan sentiasa ada.

Beri ikut keperluannya. Tidak perlu risau perkara ini sekiranya berat bayi bertambah dengan baik dan tiada masalah. Namun sekiranya ada masalah perlu bawa berjumpa doktor.

Anak saya yang kelima kerap menyusu. Berbeza dengan abang dan kakaknya. Pada mulanya terasa agak penat. Terutama pada waktu malam, kerap bangun untuk menyusu. Namun perkembangannya tiada masalah. Bila sudah besar, penat bermain dia pasti mencari susu badan untuk hilangkan dahaga. Kemudian sambung bermain semula. Ini berterusan sehingga dia bercerai susu. Baru dia minum air untuk hilang dahaga. Berbeza dengan anak-anak saya yang lain.

Perbandingan susu ibu dan susu formula

Susu ibu telah diketahui kebaikannya. Namun kesan iklan berlebihan susu formula menyebabkan kebaikan susu ibu ini ditutupi oleh kelebihan susu formula. Pernah saya juga alami perasaan susu badan tidak sebaik susu formula kerana iklan yang dipaparkan. Maklumat tentang susu ibu kurang dipaparkan. Saya fikir susu ibu tiada nutrien penting seperti DHA, kena tambah pula nutrien ini. Sebenarnya susu formula cuba meniru dan menyamai susu ibu, fakta yang saya tidak tahu dahulu.

Syukur kini tiada iklan berlebihan seperti dahulu. Iklan ini telah menutup kebenaran dengan memberi maklumat tentang kebaikan sahaja sedangkan masalah seperti alahan, cirit-birit jangkitan usus, jangkitan telinga dan kuman tidak dimaklumkan. Begitu juga risiko kesan  jangkamasa panjang seperti risiko obesiti, kencing manis dan penyakit kanser tidak dinyatakan. Ini akan dialami oleh anak itu ketika berusia 40 ke 50 tahun.

Susu ibu adalah susu ajaib untuk bayi, tidak boleh diganti dengan susu lain. Perbandingan susu ibu dan susu formula, dari segi komposisi susu-susu ini. Komposisi susu ibu, susu lembu atau susu kambing adalah berbeza.  Susu ibu mengandungi kesemua nutrien termasuk fatty acids yang mengandungi DHA yang diperlukan untuk tumbesaran dan perkembangan otak bayi. Susu lembu tidak mengandungi vitamin E dan essential fatty acids yang mencukupi.

Selain itu perbandingan susu ibu dan susu formula,susu lembu mengandungi lebih protein, sodium dan potassium yang mungkin menyebabkan tekanan pada buah pinggang bayi yang belum matang. Bayi akan hadapi masalah untuk membuang protein yang berlebihan daripada badannya. Protein dan lemak ini juga lebih sukar dihadam dan diserap berbanding dengan susu ibu. Kerana itu susu ibu mudah hadam.

Susu ibu mengandungi sel darah putih yang melindungi bayi daripada jangkitan. Sel ini masuk ke dalan payudara dan menghasilkan antibodi untuk melindungi bayi. Walau ibu tidak sihat, ibu masih boleh meneruskan penyusuan.

Di samping itu, perbandingan susu ibu dan susu formula, susu formula terdedah kepada pencemaran. Kajian menunjukan susu formula terdapat bakteria enterobacter sakazakiii. Untuk menghapuskan bakteria ini, susu perlu dibancuh dengan air panas melebihi 70 ° C.

Susu formula kini sudah disesuaikan dengan susu ibu dengan teknologi moden dengan tambahan beberapa nutrien, namun masih tidak sempurna seperti susu ibu. Harganya juga agak mahal berbanding susu ibu yang penuh khasiat secara percuma. Jika masih ada peluang memberi susu ibu, ambil peluang dan teruskan penyusuan susu ibu.

Tanda susu ibu rosak

Sebelum memberi susu ibu kepada bayi, periksa keadaan susu samada masih baik atau telah rosak. Susu ibu rosak sama seperti susu lembu yang rosak, berbau dan rasa masam.

Untuk simpanan susu, walaupun mengikut panduan diberi susu ibu mungkin akan rosak. Namun untuk mengelakkan kerosakan, gunakan secepat mungkin. Adakala ada faktor tertentu yang boleh menyebabkan susu ibu rosak walau kita telah menyimpan mengikut panduan. Pastikan periksa dahulu susu ibu itu.

  • Bau susu ibu. Susu ibu rosak akan berbau masam dan kuat yang mudah dikenalpasti.
  • Rasa sedikit susu ibu. Rasa susu ibu rosak akan rasa masam.
  • Goncang secara lembut untuk mencampurkan susu yang terbahagi 2 iaitu bahagian berkrim dan susu. Periksa jika ada berketul. Susu yang terbahagi 2 masih boleh digunakan jika tiada ketulan.
  • Jika anda was-was, baik ambil langkah selamat dengan tidak menggunakannya.

Susu ibu yang berwarna merah jambu atau hijau masih boleh digunakan jika tidak rosak. Warna ini mungkin disebabkan pemakanan yang diambil ibu.

Bila mula perah susu ibu?

Ibu yang bekerja dan bercadang untuk memberi susu ibu selepas habis tempoh berpantang perlu membuat perancangan awal. Ketika hamil sudah mula membuat persiapan untuk proses perah susu ibu berjalan lancar.Pastikan peralatan telah disediakan untuk perah susu ibu iaitu pam perah susu ibu dan botol susu atau plastik untuk menyimpan susu telah dibeli.

Ibu juga perlu bersedia dari segi psikologi. Tanamkan keyakinan dalam diri, anda pasti mampu dan berjaya lakukannya. Tanpa semangat dan keyakinan, bila timbul masalah tidak diduga, boleh menyebabkan rasa patah semangat. Dapatkan bantuan dan sokongan dari mereka yang pernah melakukannya dengan betul.

Latihan perah susu ibu

Latihan perah susu ibu mula di buat selepas 2 minggu bersalin.

  • Pastikan peralatan penyusuan telah dibersihkan dan steril.
  • Pastikan tangan telah dibersihkan.
  • Perah sebelah payudara jika bayi telah cukup menghisap di sebelah payudara lagi.
  • Perah susu ke dalam bekas bersih yang boleh ditutup.
  • Tulis tarikh perahan susu dibuat dan lekatkan pada botol
  • Biarkan seketika pada suhu bilik dan kemudian disimpan susu perahan ke dalam peti sejuk
  • Susu yang diperolehi adalah sedikit. Namun nanti jumlahnya akan meningkat selepas beberapa kali memerah

Susu ibu ini boleh juga disimpan mengikut sukatan yang diperlukan oleh bayi untuk sekali penyusuan untuk elak pembaziran. Susu ibu ini akan di beri kepada penjaga.

Perasaan bersalah selepas cerai susu

Biasanya perasaan ibu selepas cerai susu anaknya ada yang rasa lega dan ada yang rasa bersalah. Rasa bersalah biasa terjadi pada ibu yang cerai susu awal. Namun jika mereka tidak pernah merancang untuk menyusu bayi, perasaan ini tidak timbul, rasa lega dapat hentikan. Ada kajian mengatakan 63% menyesal cerai susu pada ketika bayi berusia dua ke tiga bulan dan berharap dapat menyusu lebih lama lagi. Sebanyak 50% menyesal bila cerai susu antara usia bayi empat ke sembilan bulan.

Jika anda cerai susu sebelum anda bersedia atau ingin lakukan, anda akan rasa marah pada diri sendiri. Timbul perasaan bersalah kerana tidak mampu menyusu yang sepatutnya proses semulajadi. Perasaan ini juga timbul jika anak lebih tua dapat menyusu namun anak kemudian terpaksa bercerai susu lebih awal. Mungkin juga kerana salah faham tentang penyusuan menyebabkan anda cerai susu. Ada juga ibu cerai susu untuk kepentingan dan kesenangan diri.

Selepas itu timbul perasaan bersalah pada anak dan kerisauan, anak tidak mendapat apa yang terbaik. Perasaan ini semakin teruk terutama selepas itu anak mula ada masalah kesihatan.

Perasaan sedih juga dialami oleh ibu yang menyusu anak lama dan tiba waktu untuk cerai susu. Terasa kekosongan kerana sudah biasa menyusu. Bagi ibu yang tidak mempunyai perancangan untuk ada anak juga akan timbul perasaan sedih.

Perasaan ini akan hilang mengikut masa. Kebanyakan anak-anak ini tiada masalah daripada segi perasaan. Selepas proses cerai susu, anak ini sudah tidak ingat lagi terutama cerai susu sebelum usia tiga tahun. Cuma kita sebagai ibu bapa akan menilai dan rasa seperti ada masalah pada perasaan anak terutama jika semasa proses itu anak menangis dan mengamuk. Jika selepas tamat, anak tiada menunjukan masalah, anak nampak gembira dan sihat, tiada apa perlu dirisaukan.

Pernahkah anda alami begini? Mungkin boleh berkongsi. Saya lalui semua yang ditulis di atas. Cerai susu terlalu awal dan rasa bersalah. Kemudian anak terakhir bila nak cerai susu, rasa seperti sedih, anak terakhir yang akan saya susui.

Set Bersalin RM265, biasa RM365

Set Bersalin RM265, biasa RM365

 

 

 

 

Sila layari www.nonaku.com untuk pesanan.

Sakit ketika perah susu ibu

Sepatutnya proses perah susu ibu selesa dan tidak menyakitkan. Namun tidak semua pam sesuai untuk semua  ibu. Bila tidak sesuai ibu akan rasa sakit ketika perah susu ibu.

Beberapa tip untuk atasi masalah ini

  • Mula dengan perlahan dan sedutan yang lembut. Bayi selalunya mula dengan sedutan yang lembut.
  • Guna sedutan yang lembut sepanjang masa. Biasanya pam akan lebih banyak dapat mengeluarkan susu bila digunakan dengan kuat. Namun ini tidak menyenangkan. Bayangkan seperti straw yang disedut dengan kuat, menyebabkan leper dan air tidak dapat mengalir. Jika berlaku sedutan kuat yang tidak menyelesakan, saluran susu akan jadi seperti ini juga.
  • Gunakan saiz corong yang sesuai atau gunakan shield. Jika puting atau kulit kerap terkena pada corong, ini akan menyakitkan.
  • Sapukan pelembab ketika mengepam
  • Gunakan mesin pam berkualiti tinggi. Pam yang berkualiti tinggi, biasanya bagus untuk kebanyakan orang.
  • Pastikan penggunaan yang betul. contohnya jika guna double pumping, tetapi setting guna single, ini boleh menyakitkan.
  • Periksa samada ada infeksi. Infeksi boleh menyebabkan kesakitan.
  • Periksa pada tindak balas alahan. Mungkin ada masalah alahan pada jenis plastic yang digunakan sebagai corong.

 

Tanda bayi mungkin alami sensitif atau alahan susu ibu

Sensitif atau alahan susu ibu pada makanan ibu akan menyebabkan bayi alami kembung, kerap menangis, enggan menyusu susu ibu dan tidak suka dipeluk atau dimanjakan, resah, terlalu aktif, berjalan awal, masalah tidur, masalah penghadaman dan ruam merah di alat sulit.

Tanda lain sensitif atau alahan susu ibu termasuk mata bengkak dan terdapat lingkaran keliling mata atau garisan di bawah mata, kerap alami jangkitan pada telinga. Jangkitan telinga ini biasa disebabkan alahan pada tenusu.

Bayi yang alami masalah tidur dan kerap bangun di waktu malam biasanya disebabkan oleh samada perutnya kecil jadi perlu minum kerap atau simpanan susu ibu sedikit jadi bayi perlu kerap minum atau bayi sedang membesar dan perlukan lebih banyak susu atau pengeluaran susu ibu sedikit. Sebab lain mengapa bayi tidak tidur ialah kerana sensitif atau alahan susu ibu pada makanan ibu.

Untuk atasi masalah ini, cuba elak ambil makanan penyebab alahan seperti produk tenusu, daging, ikan dan kacang. Elak makan 1 jenis sehari dan perhatikan perubahan pada bayi. Jika ada perubahan bayi semakin baik, bermakna makanan itu yang memberi kesan pada bayi. Cuba satu persatu sehingga mengetahui mana yang memberi kesan alahan pada bayi.

 

Promosi di Mama N Damia sedang berlangsung. Untuk maklumat lanjut sila layari www.mamadamia.com

Bayi tidak nak menyusu susu ibu

Kadang-kadang bayi menyusu susu ibu tanpa masalah. Namun tiba-tiba tidak mahu menyusu susu ibu. penyebabnya seperti berikut

  • Perubahan pada bau ibu. mungkin ibu tukar sabun, pewangi
  • Perubahan pada rasa yang mungkin disebabkan oleh ubatan, perubahan diet atau infeksi payudara
  • Kuantiti susu berkurang disebabkan pil perancang atau suntikan perancang
  • Bayi takut contohnya ketika menyusu ibu menjerit atau hidung tertekan  payudara dan tertutup
  • Bayi alami hidung tersumbat
  • Bayi alami sakit atau tidak selesa seperti hnak tumbuh gigi atau sakit dalam mulut
  • Ibu dan bayi terpisah lama
  • Bayi yang telah dewasa yang biasa minum susu ibu dalam botol telah biasa aliran yang laju

Kuasa minda untuk menambah susu ibu

Fikirkan secara positif, kuasa minda anda sebenarnya mampu membantu anda menghasilkan susu ibu dengan lebih banyak.

Terdapat beberapa kaedah yang boleh digunakan untuk menggunakan kuasa minda anda ini.

Persekitaran memainkan peranan yang penting agar rasa selamat dan selesa ketika menyusu bayi atau memerah susu ibu. Jadi cuba buang elemen-elemen yang menyebabkan timbul perasaan negatif. Mungkin pergi ke bilik yang lebih senyap tanpa ahli keluarga terutama jika ada ahli keluarga yang tidak membantu dan mengalakkan susu ibu ini. pasang muzik atau ayat al Quran yang memberi ketenangan pada anda. Tarik nafas secara pelahan dan mendalam untuk membersihkan fikiran dan badan daripada perasaan tegang.

Faktor persekitaran ini boleh berubah suatu masa nanti apabila tahap keyakinan meningkat dan minda anda tidak akan terpengaruh lagi dengan persekitaran yang sibuk.

Jika terasa susah untuk bertenang, cuba cari sesuatu yang anda suka untuk manjakan diri anda. Mungkin mandi yang menyegarkan diri anda, minum minuman yang sedap sementara seseorang menjaga sekejab bayi anda. Mungkin boleh berjalan-jalan seketika diluar sambil menyedut udara luar rumah. Ada kala walau beberapa ketika sahaja, mampu memberi kesan tenang kepada anda.

Ada kala ejeksi pengeluaran susu ibu terjadi disebabkan keadaan tertentu. Mungkin bila minum minuman tertentu secara atomatik susu akan keluar yang sebenarnya mempunyai kaitan dengan kuasa minda. Bila minum susu akan keluar atau kadang hanya memikirkannya juga mampu mengeluarkan susu. Anda boleh belajar untuk mengaktifkan pengeluaran susu ibu dengan memikirkan dan mengambarkan perkara itu berlaku.

Contohnya bayi menangis boleh menyebabkan berlakunya ejeksi susu ibu. Mungkin ada yang membayangkan sesuatu yang menyamankan seperti taman bunga yang indah mampu memberi kesan. Jika anda bersungguh-sungguh membayangkannya untuk mencipta situasi sensasi secara fizikal dan emosi, lebih mudah menstimulasikan respon pada ejeksi susu ibu.

 

Promosi masih berlangsung sehingga 30 Jun 2012. Sila layari website kami atau hubungi kami 03-6141 8544 (waktu bekerja)

www.mamadamia.com

www.mybengkung.com