Berita & pengumuman

Mama, damailah di sana

Sebalik kesedihan pasti ada kegembiraan. Redha atas kesedihan Allah balas yang lebih baik. Teringat kisah nabi Muhammad s.a.w yang menghadapi tahun kedukaan. Baginda kehilangan 2 orang yang sangat disayangi dalam tahun yang sama, isteri dan pakcik baginda. Pada tahun yang sama berlaku isra’ miqra’, hadiah dari Allah s.w.t buat penghilang duka.

2 Apr lalu, kehilangan insan yang disayangi. Hilang tempat mengadu, tempat meminta pendapat dan arwah seorang yang banyak menyokong perniagaan saya. Pemergiannya sebenarnya boleh dijangka kerana pesanan demi pesanannya. Tetapi hati ini tidak mahu mengakuinya. Hati ini berat untuk menerima hakikat akan kehilangan seorang ibu. Namun itulah ketentuan Allah s.w.t. Mati itu pasti, tidak terlewat walau sesaat.

Saya adalah orang terakhir yang bercakap dengannya ketika menghantar ke unit kecemasan di HUKM. Ada sesuatu yang ingin disampaikan. Sukar memahaminya kerana suaranya tercunggap-cunggap serta mulut ditutupi nebulizer. Saya minta berehat dan cakap esok saja. Rupanya itu kali terakhir mendengar kata-katanya. Selepas itu arwah tidak sedarkan diri dan berada di icu.

10 hari di icu, setiap hari mengharapkan kesembuhan. Setiap hari mengharapkan untuk mendengar apa yang ingin disampaikan. Terasa kesal sebab tidak berusaha memahaminya.

Doktor memberi harapan dengan cuba memberi antibiotik yang terbaik. Antibiotik pertama gagal memberi kesan. Doktor teruskan dengan antibiotik kedua, masih gagal. Seterusnya antibiotik ketiga yang paling kuat. Masih tidak memberi kesan. Hati ini masih berharap ada peluang lagi. Namun andai kata sudah masanya, berdoa segala dipermudahkan. Harap berada disisinya hingga saat akhir.

Pagi Sabtu 2 Apr jam 6.45 pagi menerima panggilan pihak hospital. Tidak dapat dibayangkan kerisauan yang amat sangat. Kami semua berkejar ke hospital.  Tiba di hospital, doktor maklumkan keadaan ibu saya sudah stabil semula. Berlaku pendarahan pada pau-paru dan sokongan pada paru-paru perlu dihentikan ketika itu.

Terasa lega. Namun hakikatnya perlu bersedia untuk hadapinya, hadapi sesuatu yang sangat sukar.  Saudara mara mula ramai berkunjung, bebas keluar masuk di icu, tiada lagi had waktu melawat.

Di saat semua berkumpul, mesin di tepi mula berbunyi. Menunjukkan penurunan kadar denyutan jantung ke tahap bahaya. Ya Allah, adakah sudah sampai masanya. Nurse menutup bunyi dan mata ini hanya memandang melihat dengungan jantung semakin lama makin menurun dan menurun, tiada tanda akan naik semula.

Sempat membacakan sekali lagi surah yasin. Segalanya seperti mimpi, mama seperti tidur. Tidak tercunggap-cunggap menarik nafas terakhir, tidak menunjukkan tanda dia telah pergi. Hanya mesin menunjukkan garisan lurus, tiada lagi turun naik, denyutan jantungnya telah tiada. Ya Allah, mama telah pergi buat selamanya. Sukar mempercayainya, hakikat yang sangat menyakitkan.

Alhamdulillah segalanya dipermudahkan. Ada tukang mandi kebetulan di icu melawat suaminya. Ada kenderaan jenazah untuk membawanya ke destinasi terakhir di Kemaman. Tempat lahirnya dan itulah tempat bersemadi.

Kami 3 beradik, 3 buah kereta mengiringi van jenazah di highway ke surau Syed Abdul Rahman, Binjai, Kemaman. Saat ini terasa sayu mengiringinya buat kali terakhir. Teringat saat bersamanya sejak kecil  menyusuri jalan itu. Masa kecil, lalu jalan-jalan kampung ambil masa 7 ke 8 jam untuk sampai ke Kemaman. Berapa kali bangun dan tidur. Saat berehat tepi jalan melihat periuk kera. Saat kereta rosak dan terpaksa menunggu di tepi jalan. Hari itu hanya 3 jam setengah sudah tiba. Seolah memberitahu itu lah perjalanan hidup, semakin lama semakin pantas berlalu.

Saat terakhir menatapnya, menciumnya, terasa sejuk kaku. Tiada lagi peluk cium. Tiada lagi mendengar celotehnya. Melihatnya diturunkan ke liang lahat. Melihat tanah mula dikambus.

Berat sungguh untuk menerima. Apapun redha dengan ketentuan Allah. Allah berikan seorang ibu sehingga usianya 68 tahun. Sempat merasa kasih sayangnya selama 43 tahun. Arwah mama sendiri kehilangan ibunya di usia 27 tahun. Abah pula hanya merasa kasih seorang ibu sehingga 7 tahun. Sesungguhnya diri ini beruntung Allah berikan ibu selama ini.

Arwah mama banyak memberi tunjuk ajar, memberi ingatan. Semuanya akan diingati dan akan diikuti. Dia seorang yang mempunyai pendirian yang tegas. Tetapi kerana sifatnya itu membentuk diri ini yang kuat

Setelah 4 bulan pemergiannnya, mendapat kekuatan semula. Mendapat kekuatan meneruskan semangatnya yang tidak luntur. Cuba mengikut kebaikannya. Kebaikan yang dilakukan secara tersembunyi dan tidak suka diketahui orang.

Saat menulis ini, air mata tidak berhenti mengalir. Rindu yang tidak terkata. Ya Allah tempatkanlah arwah mama dikalangan orang beriman. Ya Allah jadikan arwah mama ahli syurga. Ya Allah, ampunkan dosa-dosanya dan terimalah amalannya. Aamiiin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *