Tip Kesihatan, Tip Pemakanan

Ibu guru dan segalanya

Bulan Mei bakal berakhir beberapa hari lagi. Bulan ini banyak sambutan hari istimewa. Hari ibu, hari jururawat dan hari guru. Tugasan istimewa oleh insan istimewa.

Menjadi seorang ibu sebenarnya turut menjadi seorang jururawat dan guru. Tugasan ibu amat besar. Mengandung dan melahirkan saja sudah tidak ternilai hebatnya. Bertarung nyawa demi anak. Kerana itu syurga berada di telapak kaki ibu. Walau tidak menjaga sama sekali anak itu, syurga tetap dibawah kakinya. Mana mungkin akan lahir seorang manusia tanpa ibu yang sudi mengusungnya di dalam perut selama 9 bulan lebih.

Ibu adalah guru buat anak. Sedar atau tidak, akhlak dan perlakuan anak akan dipengaruhi oleh tindak tanduk ibu. Walau anak membenci tindakan itu, namun perlakuan yang sama akan dilakukan tanpa disedari. Oleh kerana itu, seorang ibu harus menjaga perlakuannya. Ini termasuk sikap hariannya.

Apakah misinya dalam mendidik anak. Misi dan tujuannya ini akan membentuk anak. Tanpa misi yang jelas, ibu akan terumbang ambing dalam mendidik anak. Akhlak anak sebenarnya adalah hasil didikan kita sebagai ibu. Andai sebagai ibu tidak menyukainya, betulkan diri sendiri terlebih dahulu sebelum membetulkan anak.

Sifat semulajadi ibu akan memberi kasih sayang kepada anak, memberi makanan yang berkhasiat kepada anak, melindungi anak dan sanggup melakukan apa saja demi keselesaaan dan kesenangan anak. Ini termasuk ibu sendiri perlu menjaga kesihatan dirinya agar mampu menyampaikan pemberian di atas. Mana mungkin ibu yang tidak menyayangi dirinya menyayangi anaknya. Mana mungkin ibu yang tidak makan makanan berkhasiat memberi makanan berkhasiat kepada anaknya.

Tugas ibu bukan mudah. Namun naluri keibuan akan memudahkan segalanya. Secara semulajadi ibu akan mempunyai detikan hati. Dalam mendapatkan detikan hati yang betul, cari ilmu. Untuk menjadi guru yang mendidik anak, berguru terlebih dahulu.

Dalam sambutan hari ibu, terdapat isu ianya tidak selaras dengan amalan dalam Islam. Mudahkan segalanya dengan menjadikan setiap hari adalah hari ibu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *