Tip Penyusuan

Bolehkah saya menyusu semula?

Soalan

Bayi saya berusia 3 bulan. Saya telah hentikan penyusuan susu ibu. Persekitaran yang tidak membantu dan kata-kata negatif menyebabkan rasa tertekan.  Susu pula kurang. Kini saya rasa menyesal dan ingin menyambung semula penyusuan. Bolehkah saya menyusu semula?

Jawapan

Tahniah kerana ingin menyusu semula. Usia bayi baru 3 bulan, masih sempat ambil tindakan. Jangan putus asa. Fikirkan pengorbanan untuk anak agar anak sihat. Suatu hari kita akan rasa puas hati atas segala kesusahan kita lalui ini. Jangan jadi seperti saya, kesalan masih berbekas di hati. Anak sudah 15 tahun, banyak alergi. Padahal masa usia anak saya 4 bulan, timbul keinginan ingin menyusu semula. Ketika itu anak asyik sakit. Tetapi 15 tahun dulu, susah cari maklumat. Saya tidak tahu boleh menyusu semula.

Sebenarnya pengeluaran susu juga dipengaruhi oleh perasaan ibu. Kalau rasa tertekan, susu jadi kurang. Jadi perlu tenang dan jangan rasa tertekan. Fikirkan perkara positif. Yakin pada diri. Cuba lawan kata-kata negatif dengan memikirkan kita tahu apa kita kehendaki. Orang lain tidak dapat pengaruh kita. Elak duduk dengan orang yang menyakitkan hati kita.

Kuatkan semangat untuk menyusu semula dengan memikirkan kebaikan untuk anak yang hanya mampu kita beri diperingkat awal ini. Niat demi Allah. Allah akan permudahkan urusan kita. Terdapat banyak kes ibu angkat dapat keluarkan susu untuk jadikan anak angkat anak susuan. InsyaAllah kita mampu.

Kalau susu sudah berhenti, terdapat ubat untuk keluarkan susu semula. Nama ubat metoclopramide atau domperidone. Ubat ini untuk stimulasikan prolaktin yang hasilkan susu. Ubat ini hanya stimulasikan hormone, untuk pengeluaran susu perlu kerap menyusu atau perah susu. Andai tidak disusukan dengan kerap atau tidak dipam, ubat ini tidak akan berfungsi. Sebaiknya kerapkan menyusu bayi. Jika ada masalah jauh dari bayi, kerapkan pam. Pam setiap 2 ke 3 jam sekali atau 6 kali sehari. Buat selama 20 minit.

Adalah penting untuk berasa tenang. Susu yang diperah mungkin belum keluar atau keluar sedikit. Jangan kecewa. Bila kecewa akan menyebabkan rasa tertekan. Ini akan mengganggu pengeluaran susu. Bila stress, berehat dulu. Tenangkan fikiran. Perkara normal beberapa perahan awal keluar beberapa titik saja.

Saya pernah alami tiba-tiba susu berkurang secara mendadak disebabkan rasa tertekan. Anak saya baru masuk sebulan. Saya ingin mulakan perah untuk simpanan bila mula kerja. Perasaan takut susu tidak cukup buatkan saya menjadi stress. Susu yang diperah keluar sedikit. Saya sangka pertama kali perah susu terus dapat banyak. Kekurangan ilmu menjadikan saya tertekan. Perasaan ini menyebabkan pengeluaran susu berkurang walau untuk diberi secara langsung kepada bayi untuk beberapa hari. Saya cuba bertenang  dan susu bertambah semula.

Sebenarnya normal, mula-mula perah susu dapat 10 ml. Dan apabila saya masuk kerja, saya dapat kumpul 500ml hanya 2 kali perahan di pejabat. Jadi jangan bimbang andai susu sedikit. Ia akan bertambah.

Jaga pemakanan. Makan seimbang. Tidak perlu makan banyak. Makan seperti biasa tetapi pastikan dapat semua khasiat. Minum air secukupnya. Bagaimana ingin tahu air mencukupi atau tidak? Setiap berat 20kg, perlukan 1 liter air. Contoh berat 60 kg memerlukan 3 liter air sehari.

Ada beberapa makanan yang banyakkan susu. Namun ini bukan sama pada semua orang.. Halba(fenugreek), kurma dan lobak putih.

Untuk maklumat lanjut boleh hubungi Pusat Laktasi Kebangsaan, Hospital Selayang di talian 036126 3333. Website untuk rujukan http://hselayang.moh.gov.my/ms/perkhidmatan/clinical-support-services/laktasi.html. Selain itu boleh hubungi juga Unit Laktasi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di talian 03-79497656/ 3172

Saya doakan semua ibu yang ingin menyusu semula, berjaya lakukannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *