Tip Suami Isteri

Diari Isteri

diari

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Hari ni genap sebulan isteriku meninggal. Arwah meninggalkan aku dihari lahirnya sendiri. Genap di kala usianya 38 tahun.

Baru hari ini dapat kugagahkan untuk mengemas barangnya. Apa ingin aku buat dengan barang-barangnya. Hendak disimpan terasa sangat sayu dihati. Memandang barang-barang arwah hati terasa pedih. Hendak dibuang tidak mampu juga.

Aku kemaskan dulu semua barangan arwah. Apa hendak dibuat, nanti sajalah difikirkan.

Sedangkan tanganku keluarkan satu persatu bajunya, tiba-tiba jatuh buku dari celah baju. Eh! Buku apa pula ini. Aku ambil dan buka buku itu.

Rupanya arwah ada simpan diari. Dah mula menulis 3 tahun lepas. Aku belek satu persatu. Tidak banyak catatan. Belekan terhenti di tarikh 5 Mac. Catatannya membuatkan aku terhenti membelek.

 

5 Mac

Hari ini dah seminggu period terlewat. Jadi aku buat keputusan untuk buat pemeriksaan sendiri di rumah. Beli di farmasi pagi tadi.

Entah le sedih atau gembira. Aku hamil lagi.

Aku tahu abang pasti marah. Dia tidak suka punyai anak lagi. Aku suka anak ramai, tetapi sebaliknya buat abang. Adik beradiknya ramai dan tidak mendapat perhatian menyebabkan dia tidak suka anak ramai.

7 Mac

Hari ini aku berpeluang beritahu berita aku mengandung. Seperti dijangka, aku dimarahi. Aku beritahu ini takdir Allah. Kita sudah berusaha untuk mengelak kehamilan tetapi Allah yang tentukan. Kita tidak mampu melawan takdir Allah.

Paling memeranjatkan aku, aku diminta gugurkannya.

Apa dosa anak ini. Tidak takutkah dosa dengan Allah. Apa hak kita nak membunuh anak yang tidak mampu pertahankan dirinya. Air mata tidak dapat ditahan lagi.

 

30 Mac

Hari ini aku pergi membuat pemeriksaan doktor. Alhamdulillah anak aku sihat. Usia kandungan sudah 8 minggu.

Aku maklumkan ada sedikit keluar darah. Doktor nasihatkan aku berehat dan ambil ubat untuk kuatkan rahim.

Hati ibu ini sangat gembira, melihat jantung bayi yang jelas berdengup. Nampak jelas dalam skrin.

Timbul perasaan bersalah. Ya Allah bagaimana aku boleh terlintas untuk gugurkannya. Mana tidaknya, setiap hari aku dipaksa abang untuk gugurkannya. Aku sangat tertekan.

Ya Allah, kau berikan lah kekuatan pada aku ini. Aku tahu hari aku yang mendatang akan dipenuhi dengan kepedihan.

Aku tidak maklumkan abang mengenai pemeriksaan pertama ini. Lebih baik diam dan tidak mengundang kemarahannya.

 

22 Mei

Usia kandunganku kini 4 bulan. Hanya hari ini mampu aku menulis semula diari ini. 2 bulan aku mabuk teruk. Setiap kali mengandung 4 bulan pertama aku mabuk teruk. Masih teringat masa kerja dulu, setiap minggu pasti cuti. Mujur kali ini aku sudah berhenti dan menjadi surirumah.

Keadaan kesihatan aku kali ini tidak memberangsangkan. Aku alami kencing manis dan darah tinggi. Doktor nasihatkan agar banyakkan berehat.

Setiap malam aku muntah. Makan minun aku tidak terjaga. Kali ini keadaan aku sangat teruk, tidak seperti anak sebelum ini. Badan aku sangat tidak bermaya. Beberapa hari ini baru aku mampu makan. Dapatkan aku sedikit tenaga.

Aku terpaksa membuat kerja rumah seperti biasa. Masak dan menjaga anak. Masa masak, aku tutup hidung supaya tidak loya. Anak-anak aku perlu makan. Selebihnya terpaksa aku abaikan saja.

Hati ini semakin hancur. Abang melayan dengan sangat teruk. Hanya bulan ini tiada kata-kata gugurkan anak lagi. Setiap hari menyalahkan aku. Anak-anak sering kena marah. Aku juga mula menyedari dia seperti sukar berpisah dengan handphonenya. Ke bilik air pun dibawa.

Lebih teruk, setiap hari dia balik lewat. Aku tidak mampu berkata apa-apa. Mana mungkin aku mengadu kesusahan aku dalam keadaan dia membenci aku.

Aku tidak mahu burukkan abang didepan keluargaku. Jadi segalanya ku simpan di lubuk hati. Lagipun tiada apa yang boleh mereka lakukan. Aku hanya mengadu dengan Allah. Hati ini milik Allah. Hanya Quran dan solat sunat menjadi penghilang duka dihati. Lagipun bagus aku membaca Quran kerap masa mengandung. Ya, Allah sayangkan aku. Dia uji aku supaya aku dekat denganNya.

 

30 Jun

Hari ini aku jalani pemeriksaan bulanan. Wah! Aku akan punyai anak perempuan.  Semua yang lain anak lelaki. Gembiranya aku hari ini. Aku akan ada ‘kawan’.

Alhamdulillah anak aku sihat. Segalanya tiada masalah. Aku sebenarnya risau dengan kandunganku. Aku berasa dalam keadaan tertekan sepanjang aku mengandung.

Setiap kali solat aku panjatkan doa, moga anak ini sihat, anak yang paling baik dan disenangi.

Abang masih tidak berubah. Malah semakin teruk perangainya. Sebelum keluar kereta, bergayut dengan handphone. Aku memerhatikan saja dari dalam rumah. Sangkanya aku tidak perasan. Sering keluar semula di waktu malam. Pulang ke rumah, kemudian keluar semula. Alasannya isi minyak. Isi minyak yang ambil masa 10 minit, 1 jam baru balik.

 

18 Jul

Apa yang aku takuti telah terjadi. Benar sangkaanku. Ya Allah dugaan apa yang kau berikan. Aku terbaca sms yang tidak sempat dipadam. Hancur hati ini. Hanya Allah yang tahu.

Abang punyai orang lain di pejabatnya. Tempat meluahkan perasaan kononnya tertekan aku mengandung. Rupanya menjadi semakin intim. Dulu memang abang sering cerita tentang perempuan ni. Kononnya kesian buah hatinya dirampas orang.

Terdetik pula hati ini untuk memeriksa facebooknya. Melalui facebook, aku membaca usikan kawan-kawan, pasangan sejoli yang sedang hangat dipejabat mereka. Ya Allah, rupanya sudah menjadi bualan di pejabat.

Tadi aku tanya, dia nafikan. Aku bergaduh dengan abang. Dia marah menuduhnya sebegitu.

 

20 Ogos

Semenjak aku mengetahui kecurangan abang, emosiku sangat terganggu. Badan aku terasa lemah. Aku kuatkan demi anak yang dikandung. Ya Allah berikan kekuatan pada diri ini. Jadikan anak ini anak yang sihat, anak yang periang, anak yang menyenangkan, anak yang menyejukan hati ayahnya.

Aku sering sakit kepala. Aku sering rasa pitam. Badan ini tidak mampu lagi ku bawa.

Abang tidak menyedari keadaanku. Dia berada didunianya sendiri. Sukar berpisah dengan handphone bila berada di rumah. Pernah aku terjaga di waktu malam dan dia asyik dengan handphone.

 

15 Sep

Aku perhatikan abang. Ada perubahan. Kenapa ya, tiba-tiba dia baik dengan aku. Bertanya tentang kandunganku. Mungkin dia tahu tarikh bersalin aku semakin dekat. Dan timbul belas kasihan dihatinya. Alhamdulillah. Aku rasa bahagia hari ini.

 

9 Oktober

Hari ini keadaan aku semakin tidak sihat. Aku tidak mahu mengadu dengan abang. Moga Allah beri kekuatan pada aku.

Abang, andai Sarah pergi dulu jaga anak-anak dengan sempurna. Beri pendidikan dunia dan akhirat. Anak yang dikandung ini jangan dibenci. Sarah doakan, abang akan sayanginya lebih dari segalanya suatu hari.

Ampun dan maaf atas segala salah silap Sarah. Halalkan makan minum dan semua pemberian abang pada Sarah. Sarah sudah lama memaafkan segala salah silap abang.

Carilah penganti diri ini yang mampu menyayangi anak-anak kita. Isteri solehah yang lebih baik dari Sarah yang serba kekurangan ini.

Terima kasih kerana sudi mengambil Sarah sebagai isteri dan menjaga Sarah selama ini.

 

Uweeek, uweek….  Bacaan aku terhenti oleh tangisan bayi. Dengan segera aku membelek muka surat lain. Itulah catatan terakhirnya.

Maisarah, anakku dilahirkan 15 oktober. Kelahiran lebih awal dari dijangka. Aku tidak tahu arwah alami kompikasi sepanjang mengandung. Bertarung nyawa demi anak yang dikandung. Akhirnya hari itu iaitu hari lahirnya adalah hari penghujung nyawanya.

Sebelum bersalin arwah sempat memohon maaf padaku. Sedangkan aku hanya diam seribu bahasa, masih berkeras tidak mahu akui kesalahanku. Ya Allah tidak ku tahu, itulah saat terakhirnya berkata-kata dengan ku.

Ya Allah betapa aku telah berdosa kepadanya. Ampunkan abang, Sarah. Isteri abang yang tiada gantinya. Tidak sempat abang mohon maaf dan menebus kesalahan abang. Sesalan ini pastinya akan ku bawa hingga ke akhir hayatku. Tidak mampu aku maafkan diriku. Aku tekad ingin sampaikan pesanan ini buat suami semua, agar hargai isteri semasa hidupnya.

Ayah berjanji ayah akan menjaga Maisarah sepenuh hati dan menebus kesalahan ayah semasa Maisarah dalam kandungan mama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *