Tip Bayi & Anak-anak

Syukur Alhamdulillah, kejayaan anak dyslexia luar jangkaan

Sudah beberapa minggu tidak update blog. Asalnya tiada masa. Kemudian ada masalah pula dengan blog ini. Syukur Alhamdulillah mendapat support yang bagus dari web hosting saya. Sudah beberapa web hosting yang saya langan. Web hosting internet-webhosting.com mempunyai support team yang paling bagus. Menjawab segala persoalan dengan segera walau di tengah malam.

Beberapa minggu ini banyak perkara terjadi pada saya. Kehidupan manusia ini sama dengan dengupan jantung manusia. Ada turun naiknya. Jika mendatar tandanya telah mati. Jadi semua manusia hidup akan berhadapan dengan dugaan.

Saya lebih suka berkongsi berita gembira. Kedukaan saya, moga Allah ganti kesusahan itu dengan sesuatu yang baik. Andai bukan di dunia ini, insyaAllah di akhirat nanti.

Syukur Alhamdulillah, paling menggembirakan saya adalah kejayaan anak saya. Ummm bukan UPSR. Kebetulan hari ini hari keputusan UPSR. Anak saya baru darjah 2. Jika biasa baca blog saya, ada saya cerita mengenai anak dyslexia saya. Saya mula mengetahui keistimewaannya ketika dia berusia 6 tahun. Kesedihan yang tidak mampu ditanggung. Risau akan masa depannya. Tangisan sering menemani saya.

Syukur Alhamdulillah, Allah memberi saya kekuatan untuk menerimanya. Ini amat penting. Kekuatan inilah yang membantu saya. Akhirnya saya mampu berhenti menangis dan bertatih bersama-samanya mengharungi hidup ini. Banyak duit dan masa saya habiskan untuk membantunya.

Syukur Alhamdulillah tahun ini dia mendapat guru yang memahami anak-anak yang istimewa yang memerlukan perhatian. Cikgu Azran, Sekolah Seksyen 6 Kota Damansara. Tiada lagi panggilan bengong, lembab. Mungkin cikgu yang memanggil anak-anak ini sangka anak-anak ini tiada perasaan. Saya mendengar luahan hati anak saya, terasa sedih dengan panggilan sebegitu. Anak-anak begini sangat sensitif kerana mereka tahu mereka ada kekurangan. Anak yang normal terasa sedih, inikan anak yang sedia maklum kekurangan dirinya.

Tahun ini baru dia boleh membaca. Dia rajin menyiapkan kerja sekolahnya tanpa di suruh. Peperiksaan pertengahan tahun dia sudah boleh menjawab. Walau markah kebanyakannya hanya 40, saya sudah cukup seronok. Perkembangan memberangsangkan.

Peperiksaan akhir tahun, saya tidak mengharap apa-apa. Cukup sekadar dia mampu menjawab semampu dia boleh.

Kertas pertama ditunjukan pada saya, dia mendapat 80 markah. Syukur Alhamdulillah. Kertas Bahasa Malaysia Kefahaman. Benarkah markahnya ini? Ya Allah dia dapat A. Bukan A yang saya fikir tetapi ini keajaiban. Pelajar kelas akhir yang telah dicadangkan untuk ke Sekolah Khas oleh doktor.

Syukur Alhamdulillah dia mendapat 2 hadiah di hari kecemerlangan. Hadiah no 1 dalam kelas dan hadiah peningkatan kecemerlangan. Dari kelas terakhir, kelas ke 7 naik ke kelas ke 4. Peningkatan yang sangat membanggakan saya.

Syukur Alhamdulillah Allah membalas segala tangisan saya dengan kejayaan. Namun kejayaan dia masih jauh. Kejayaan bukan semata di bidang akademik tetapi dalam apa jua bidang serta perkembangan dirinya yang masih jauh tertinggal. Moga Allah terus beri kekuatan pada diri ini untuk terus mendidiknya dan memberi sokongan kepada anak ini. Doa-doa akan mengiringi dia.

Buat ibu ayah yang punyai anak dyslexia atau anak istimewa,  jangan henti berdoa, jangan henti mengharap. Semangat kita akan membentuk anak ini berjaya dunia dan akhirat.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *