Tip Suami Isteri

Persiapan perkahwinan sampai bila-bila

pengantin

 

 

 

 

 

 

 

 

Baru balik dari kenduri kahwin sepupu di Terengganu. Tahniah ‘adik’ dan tahniah Cik Zah kerana terima menantu.

Sederhana tetapi tetap meriah. Masa untuk berjumpa dengan saudara-mara.

Persiapan perkahwinan terasa seperti tidak berkesudahan. Selesai apabila majlis selesai. Segalanya perlu dipastikan terurus dan berjalan lancar. Walau majlis sederhana, namun pelbagai persiapan perlu dilakukan.

Terasa seperti selesai segalanya selepas sempurnanya majlis perkahwinan. Sebenarnya ‘majlis’ baru bermula dan persiapan perkahwinan masih belum selesai sehingga bila-bila. Ramai mungkin ambil berat tentang majlis sementara dan terlupa majlis yang berpanjangan selepasnya. Persiapan perkahwinan sekadar kursus perkahwinan yang diwajibkan.

Proses persiapan perkahwinan adalah proses yang berterusan. Andai proses ini berhenti, rumahtangga akan pincang, berantakan dan mungkin hancur.

Kehidupan 2 insan yang berbeza latar belakang, cara didikan, pendidikan, bahasa, adat dan mungkin dari agama yang berbeza disatukan. Umpama warna biru dan merah yang disatukan, akan menjadi ungu. Tidak mungkin menjadi biru saja atau merah saja. Ia akan berubah menjadi sesuatu yang baru.

Sesuatu yang baru, bermakna banyak yang akan dikaji dan diadaptasikan. Berlaku eksperimen demi eksperimen. Untuk memastikan kejayaan sebuah perkahwinan, ilmu memainkan peranan penting. Garis panduan akan memandu kehidupan yang lebih sejahtera.

Dalam Islam garis panduan kekeluargaan adalah lengkap dan merangkumi semua perkara. Bermula saat bertemu jodoh, saat pernikahan, saat bersatu, saat mempunyai anak dan setiap yang berlaku ada adab dan peraturannya.

Kepincangan akan berlaku apabila garis panduan ini dipinggirkan.  Kejahilan akan menutup kebenaran. Suami atau isteri tidak mengetahui hak dan tanggungjawab. Tanggungjawab difikir dari sudut logik akal. Dan masing-masing hanya mempersoalkan tentang hak masing-masing.

Sebuah kapal hanya mempunyai 1 nahkoda. Begitu juga dalam rumahtangga, hanya boleh ada 1 ketua. Jika 2 orang berebut-rebut untuk didengari kata-katanya, pasti tiada siapa yang ingin mendengar. Kerana itu Islam mewajibkan isteri mengikut suaminya selagi tidak melanggar hukum syarat.

Bagi pihak isteri, terutama isteri sekarang yang berkerjaya malah ada lebih hebat dari suami menyebabkan perintah ini seperti sukar untuk dituruti. Persoalan seperti suami tidak bertanggungjawab, suami tidak tunai hak isteri atau suami tidak pernah bertolak ansur. Sebagai seorang bergelar isteri perlu melayan suami dan tidak membantah selagi mengikut syariat.

Pasangan kita adalah cermin kita. Apa yang dilihat pada pasangan kita adalah diri kita sendiri. Kita sering terasa hak kita tidak dipenuhi. Namun adakah kita sedar, kita juga tidak menunaikan hak pasangan kita. Untuk mengubah pasangan kita adalah dengan mengubah diri kita. Kesilapan paling besar adalah cuba mengubah pasangan kita. Ia lebih memburukkan keadaan.

Begitu juga anak-anak. Mendidik dengan ilmu. Persiapkan diri dengan ilmu keibubapaan. Dan anak-anak juga adalah cermin diri kita. Baik buruk anak adalah hasil didikan kita.

Melakukan persiapan lebih mudah dari membetulkannya. Umpama penyakit. Lebih mudah untuk mengelak penyakit dengan menjaga kesihatan dan pemakanan berbanding cuba mengubatinya.

Inilah persiapan perkahwinan yang tidak akan berkesudahan sepanjang hayat kita. Moga dengan persiapan ini bakal membawa kita ke jannah bersama-sama seluruh ahli keluarga kira.

Perkahwinan adalah persiapan sepanjang hayat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *