Tip Bayi & Anak-anak

Dyslexia, suatu kelebihan.

Kini sudah lebih 1 tahun saya mengetahui anak saya alami dyslexia. Sejak mengetahui perkara ini, banyak saya beli buku dan cuba pelbagai perkara untuk bantu anak saya.

Alhamdulillah perkembangannya memberangsangkan. Pada mulanya rasa bersalah kerana tidak menyedari dari awal. Namun sebenarnya perkembangan dia sendiri yang lewat, jika saya ambil tindakan awal, hasil tidak jauh berubah. Semua perlu kesediaan dia untuk melakukannya. Sekurangnya masih belum terlewat, kerana saya mengetahui sebelum dia masuk darjah 1. Ada yang kesan ketika anak telah besar. Ada langsung tidak sedar anak dia ada masalah ini dan label anak sebagai malas. Bayangkan kesukaran anak berkenaan.

Mempunyai anak dyslexia membuatkan saya lebih memahami diri saya, memahami tugas saya sebagai ibu dan memahami anak-anak lain. Sejak awal saya sedar perkara yang berlaku  bukan kelemahan atau kekurangan. Ini adalah kebaikan. Sesuatu itu terjadi atas kehendak Allah dan pasti ada hikmahnya.

Ketika melaluinya perlu fikir secara positif dan sentiasa cari jalan untuk kejayaan. Jangan kecewa jika gagal 1 cara. Pasti ada seribu cara lagi. Jika ramai ahli sains dulu mengalah pasti banyak kemudahan kita nikmati sekarang, tiada. Hakta lampu pun tidak ada. Semua dilakukan dengan cubaan yang tidak kenal putus asa.

Saya mengajarnya sendiri dan memerhatikan perkembangan anak saya, mudah untuk menilai dirinya. Dia juga kini mudah untuk menyuarakan perasaannya. Ini amat penting. Perasaan terpendam menyebabkan dia suka memberontak. Dahulu bila mengajar saya mengikut kehendak saya, terlalu mengikut buku. Kini saya mengikut naluri keibuan dan kehendak anak.

Perkembangan terkini, dia sudah mula boleh baca. Dia sendiri berminat untuk belajar. Beza dahulu, minat ada tetapi dia akan mengalah bila gagal baca atau ingat.  Jika berterusan begini, insyaAllah 2,3 bulan lagi sebelum hujung tahun dia akan boleh membaca.

Perlu menerima keadaan dirinya untuk membina dan mendidik dirinya. Semua akan dilakukan mengikut keperluan dirinya bukan keperluan diri kita sendiri. Kesilapan yang sering ibu bapa lakukan adalah membuat sesuatu atas keperluan diri sendiri bukan anak.

Mempunyai anak istimewa, dyslexia, autism atau anak cacat bukan kekurangan tetapi kelebihan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *