Tip Bayi & Anak-anak

Kembung perut bayi

Kembung perut bayi berlaku kerana kesakitan pada perut bayi yang mungkin disebabkan oleh ususnya, angin terperangkap atau terlebih minum susu. Bayi sihat yang mengalami kembung perut akan menangis tanpa sebab selama beberapa jam. Bayi akan menendang-nendang dengan kaki diangkat ke atas. Ini bukan tangisan yang normal. Bayi mungkin diam seketika apabila dipujuk dan kemudian sambung menangis semula.

Kembung perut bayi ini akan terjadi sehingga bayi berusia tiga ke empat bulan, tetapi boleh juga berlarutan sehingga ke usia setahun. Bayi yang minum susu formula lebih mudah mendapat kembung perut. Susu formula perlu ditukar sekiranya susu berkenaan tidak sesuai. Kembung perut juga berlaku pada bayi yang minum susu ibu. Ibu yang memberi bayi susu ibu juga perlu elak minum susu lembu, kopi dan cokelat untuk atasi masalah kembung perut bayi.

Ibu ayah akan risau, bimbang dan sedih melihat bayi menangis beberapa jam lamanya dan sukar dipujuk. Ada juga yang menjadi marah kepada bayi apabila bayi tidak dapat dipujuk. Ketika ini cuba kawal perasaan kerana jika tidak mengawal perasaan ibu atau ayah mungkin mengambil tindakan seperti mengoncang yang memudaratkan bayi dan tekanan perasaan kepada ibu dalam pantang. Bagi mengelak bayi menangis berterusan cuba berikan dia menghisap puting ibu, jarinya atau beri puting tiruan. Cuba juga buat bunyi ketukan yang kuat untuk mengalih perhatiannya. Ini hanya akan menenangkannya untuk sementara bagi mengelak tekanan pada ibu dan ayah.

Untuk atasi masalah ini daripada berlaku, sendawakan bayi selepas setiap kali menyusu samada minum susu formula atau susu ibu, agar angin tidak terperangkap. Urutan, sapuan minyak atau tuaman pada perut bayi juga akan membantu mengelak masalah kembung perut bayi ini. Masyarakat melayu mengamalkan pemakaian barut bayi untuk membantu mengatasi masalah ini. Amalan-amalan ini memberi kesan mengurangkan masalah kembung perut bayi.

Sekiranya bayi mengalami masalah muntah lebih lima kali sehari, pertambahan berat badan yang sedikit atau menghadapi masalah penyusuan, dapatkan pemeriksaan doktor untuk memastikan tiada masalah.

Ketika menjaga anak sulung, bayi saya hadapi masalah kembung perut yang teruk. Saya kenalpasti puncanya dan untuk anak yang seterusnya saya tidak lagi alami masalah yang sama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *