Tip Kesihatan

Rambut gugur lepas bersalin dan tip lebatkan rambut

Beberapa bulan pertama selepas bersalin, ramai ibu muda terkejut rambut gugur dengan luar biasa. Ini adalah perkara normal dan tidak perlu panik. Anda tidak akan botal. Rambut akan tumbuh semula dan kembali ke asal pada ulang tahun pertama anak.

Kebiasaan 85 ke 95 peratus rambut tumbuh dan memanjang, dan 5 ke 15 peratus dalam keadaan ‘resting’. Selepas tempoh ‘resting’, rambut akan gugur kebanyakannya ketika sikat atau shampoo. Rambut gugur ini akan diganti dengan rambut baru. Secara purata rambut gugur 100 helai sehari.

Semasa hamil, peningkatan estrogen akan memanjangkan tempoh rambut memanjang. Kurang rambut dalam keadaan ‘resting’ dan kurang rambut gugur. Jadi rambut jadi tebal.
Selepas bersalin, tahap estrogen menurun dan lebih banyak rambut akan ke peringkat ‘resting’. Jadi bila mandi dan sikat, lebih banyak rambut gugur. Keguguran yang keterlaluan akan berhenti dan kembali ke rambut asal dalam masa 6 ke 12 bulan selepas bersalin

Namun tidak semua alami begini. Dan ada yang tidak menyedari keadaan ini berlaku.

Kita tidak mampu elak rambut gugur. Jadi ketika tempoh ini rambut tetap gugur. Apa yang boleh dibuat, potong rambut pendek. Ini pun memudahkan penjagaan rambut, terutama dengan kehadiran bayi baru.

Namun jika selepas tempoh itu rambut masih belum tumbuh semula atau masih kurang, boleh cuba kaedah-kaedah tradisional di bawah ini untuk galakan pertumbuhan rambut. Boleh pilih salah satu. Lakukan 2 ke 3 bulan sehingga mula nampak hasil.

Penggunaan shampoo yang baik juga turut membantu. Saya sudah lama bertukar menggunakan shampoo herba. Harga lebih mahal, namun kesan memuaskan.

Selain itu jangan sikat ketika rambut masih basah dan gosok kulit kepala dengan kuatnya semasa shampoo. Ini menyebabkan rambut lebih mudah gugur.

1. Sapu minyak kelapa (saya guna minyak berubat herba NR) di kulit kepala dan rambut. Kemudian sapukan telur di kulit kepala. Balut dengan tuala dan biar 1 jam. Lepas tu shampoo. Lakukan 2 ke 3 kali seminggu.

2. Jika alami kelemumur juga boleh menyebabkan keguguran. Jadi boleh guna limau nipis untuk menghilangkan kelemumur selama 2 minggu. Kemudian boleh gunakan santan untuk suburkan rambut. Santan perlu dilumurkan ke kulit kepala dan keseluruhan rambut. Balut rambut dengan tuala dan biar setengah jam. Biarkan ia berminyak dan meresap. Kemudian basuh dengan air suam. Atau jika tidak suka berminyak, boleh shampoo.

3. Gunakan beberapa helai daun bunga raya dan lidah buaya. Basuh kemudian kisar daun bunga raya dan lidah buaya sehingga hancur. Lumur atas kulit kepala dan rambut. Biarkan selama sejam. Lakukan 2 kali seminggu.

4. Guna kacang hijau. Kacang hijau direndam semalaman. Tapis dan ambil airnya, sapu atas kulit kepala sambil urut secara perlahan-lahan.