Tip Bayi & Anak-anak

Mengajar bayi akan percepatkan perkembangan

Lama saya tidak menulis blog. Cuba menulis, sekerat jalan terhenti. Sibuk dengan kenduri kahwin adik dan berpindah rumah.

23 hb Jun genap bayi saya 4 bulan. Genap tarikh tu, dia pandai meniarap. Sebelum tu tiada tanda dia nak meniarap. Saya pun terlupa perkembangan sepatutnya. Hanya beberapa hari sebelum 4 bulan baru saya sedar, dia belum menunjukan tanda mahu meniarap. Jadi sehari sebelum tu saya ajar dia meniarap, saya pusingkan badan dia dan tarik tangan ke depan. Esok terus meniarap tanpa tersangkut tangan. Ummph, saya sangka lambat lagi akan meniarap. Sekarang asyik berniarap, dan abangnya Daiyan pun ikut meniarap macam adiknya disebelah.

Dari pengalaman saya, bila saya ajar bayi, lebih cepat dia pandai melakukan sesuatu. Adakala sekali ajar sudah boleh buat. Namun perlulah pada waktunya. Jangan pula umur 4 bulan sudah mahu diajar berjalan. Dulu saya sangka biarkan sahaja, nanti dia pandai sendiri. Memang betul. Akhirnya pandai sendiri. Cuma cepat atau lambat le pandai. Contoh pengalaman pandai berjalan.

Anak ke 4 paling cepat berjalan sebab ramai membantu dia berjalan. Anak ke 3 paling lambat berjalan kerana ketika itu saya sedang mabuk mengandung dan kurang menumpukan perhatian padanya. Jarak anak ke 3 dan 4 rapat.Saya selalu sangka susah untuk diajar kerana bayi tidak boleh bertutur dan memahami arahan kita. Sebenarnya perkara sebaliknya. Mudah untuk diajar.

Dalam kajian, otak bayi cepat berkembang untuk 2 tahun pertama. Otak bayi berkembang cepat dan mudah menerima pelajaran baru. Namun perkara ini turut dipengaruhi oleh bayi berkenaan seperti berat badan atau kemahuan bayi itu. Jika bayi jenis yang energetik, cepat untuk belajar. Biasanya ini turut dipengaruhi oleh faktor keturunan juga.

Selain itu pengalaman bayi juga akan menyebabkan proses itu cepat atau lambat contohnya ketika mula mempelajari berjalan mengalami trauma akibat terjatuh menyebabkan ia takut untuk mencubanya semula. Perlu menunggu dia bersedia semula.

Sudah tentu juga kita perlu ada ilmu sebelum mengajarnya. Penting untuk pastikan keselamatan bayi kita. Peringkat permulaan bayi akan mula mengawal badannya bermula daripada kepala ke badan, ke tangan dan kaki. Pada umur 2 ke 6 bulan bayi akan mula belajar bergerak dan meniarap. Jadi ketika saat ini pastikan bayi anda tidak dibiarkan bersendirian di tempat tinggi walaupun di tengah katil yang besar. Menakjubkan dalam sekelip mata bayi akan berada dihujung katil.Bayi mula belajar duduk tanpa sokongan pada umur 7 ke 9 bulan. Pastikan bayi anda boleh duduk sendiri dalam beberapa minit sebelum anda yakin dia telah boleh duduk sendiri terutama jika ingin letakkan dia dalam kerusi makan bayi.

Mengesut pula pada usia 6 ke 12 bulan. Selepas beberapa bulan akan mula belajar merangkak. Ada juga bayi tidak mengesut, hanya duduk dan kemudian terus belajar berdiri. Berdiri biasanya bermula pada usia 9 bulan, namun ada yang boleh berdiri di usia 7 bulan dan berjalan di usia 9 bulan. Namun kebanyakan bayi mula berjalan pada usia 12 ke 15 bulan.

Teringat masa anak kembar dulu. Lebih kurang sama perkembangannya. Cuma ketika mula merangkak, abangnya agak malas sedikit. Asyik mengesut, adik dah dihadapan. Berjalan lewat sebulan dari adiknya.

Perlukan barang semasa berpantang, sila layari www.mamadamia.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *