Tip Bayi & Anak-anak

Tip Urutan Bayi

Ada bayi ini, saya ingin kongsi tip-tip yang biasa saya lakukan pada bayi saya. Semasa bersalin anak sulung, saya diajar cara mengurut bayi. Mula dulu ingat ibu dalam pantang sahaja yang kena mengurut, rupanya bayi pun bagus diurut. Ada kelas antenatal yang mengajar cara urutan bayi ini.

Faedah Urutan bayi

1. Membantu pembesaran fizikal bayi
2. Menguatkan ketahanan tubuh badan
3. Membina keyakinan diri
4. Membantu bayi berasa tenang dan selesa
5. Mengeratkan ikatan kasih sayang antara ibu dan bayi

Langkah permulaan

1. Pastikan 15 minit sebelum bermula anda dan bayi dalam keadaan tenang dan selesa. Boleh mainkan muzik untuk membantu menenangkan anda dan bayi.
2. Pastikan suhu dan keadaan bilik sederhana panas. Alaskan kain yang lembut dan sesuai untuk dibaringkan bayi di atasnya
3. Sebaiknya bayi tidak berpakaian ketika melakukan urutan dan waktu yang sesusai adalah selepas mandi. Namun urutan juga boleh dilakukan ketika bayi berpakaian.
4. Gunakan minyak bayi yang lembut untuk mengurangkan geseran ke atas kulit bayi. Sapukan minyak ke atas tangan secukupnya untuk memudahkan urutan. Gosok kedua-dua belah tangan anda untuk memanaskan tangan anda sebelum menyentuh bayi.
5. Mulakan dengan urutan yang lembut, perlahan-lahan tambahkan tekanan apabila melihat bayi anda mula selesa dengan urutan yang dilakukan.
6. Lakukan urutan dengan kasih sayang iaitu dengan memandang mata bayi anda, bercakap-cakap atau menyanyi
7. Sebaiknya lakukan urutan pada waktu yang sama, jadi bayi biasa dan dapat merasainya sebagai satu rutin.
8. Seeloknya mulakan dari kepala hingga ke hujung kaki dan kemudian beralih ke bahagian belakang bayi pula.

Peringatan ketika melakukan urutan

1. Dapatkan kerjasama sepenuhnya daripada bayi anda. Ini merupakan aktiviti terapeutik dan ia boleh dilakukan dengan perasaan kasih sayang
2. Tingkahlaku anda diperhatikan oleh bayi anda, dan akan diikuti oleh bayi anda. Pastikan anda bersedia dan tenang sebelum bermula
3. Jika bayi keletihan, berilah bayi anda berehat dahulu. Cuba urut selepas bayi bangun tidur

Urutan terbahagi kepada urutan kepala, badan, tangan, perut dan kaki. Untuk belajar urutan bayi cuba semak dengan kelas antenatal yang diadakan di hospital anda atau kelas persendirian. Alang-alang hadiri kelas ini pastikan ada mengenai penjagaan untuk bayi anda juga. ;)

Urutan ini bagus untuk bayi. Mudah dibuat, bukan seperti mengurut orang dewasa. Urutan ini pada saya lebih kepada memberi kasih sayang dan lebih sentuhan pada bayi. Saya sendiri dalam pantang rajin juga mengurut bayi. Namun kadang-kala tidak dapat buat juga. Kesian semasa anak ke-4 saya, Daiyan. Disebabkan bersalin secara pembedahan dan jarak dengan kakaknya dekat, tak banyak dapat dilakukannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *