Tip Bayi & Anak-anak

Keluar bersama-sama bayi baru anda

Dalam beberapa hari atau minggu bayi baru dilahirkan, apabila anda ingin keluar, terasa pelbagai persediaan perlu dilakukan untuk keluar walau hanya seketika. Jangan jadikan ini semua suatu perkara yang menyukarkan hidup anda.

Berikut tip untuk memudahkan anda.

1. Pastikan beg bayi anda telah disediakan barang keperluan asas seperti lampin, pakaian bayi, sapu tangan, botol susu dan susu. Jadi apabila anda ingin keluar semua telah tersedia. Barangan untuk bayi ini adalah sedikit berbanding apabila bayi telah berusia 6 bulan ke atas, di mana barangan lebih banyak perlu disediakan.

Masa anak pertama, setiap kali hendak keluar, ambil masa hampir setengah jam nak bersiap. Leceh sungguh. Namun untuk anak seterusnya lebih mudah dan cepat. Sentiasa tersedia dalam kereta. 5 minit dah boleh keluar. Beg pun dah tak pakai beg bayi, pakai beg sandang je. Mudah suami saya bawa ke mana-mana. Lebih memudahkan sebab saya pula menyusu badan, dah kurang barang untuk susu.

2. Jika bayi anda menyusu susu formula, pastikan anda membawa air, susu dan botol yang mencukupi andai kata anda tersangkut di jalanan.

3. Sediakan juga baju simpanan untuk anda jika bayi anda muntah atau mengotorkan baju anda.

4. Keluar berjalan tidak semestinya kerana untuk sesuatu yang istimewa. Ada kala anda perlu keluar seketika untuk mengambil angin. Jadi cubalah keluar setiap hari dengan bayi anda seperti bersiar-siar di taman.

5. Jika anda keluar untuk perjalanan yang jauh, buat perancangan agar bayi tidur ketika dalam perjalanan.

Masa anak kembar, memang agak sukar saya menjaga mereka berdua ketika dalam perjalanan jauh. Biasanya saya rancang waktu perjalanan pada waktu tidur mereka. Saya letakkan di atas baby car seat dan biarkan mereka lelap. Jadi sepanjang perjalanan saya juga dapat berehat, duduk di depan dan mereka berdua di tempat duduk belakang . Begitu juga dengan anak-anak berikutnya. Saya letak bayi saya dalam car seat ketika perjalanan jauh.

6. Jika anda bermalam di luar, pastikan bawa sesuatu seperti mainan, selimut kesukaan bayi agar bayi anda tidak terasa kurang selesa dengan suasana baru. Ada kala bayi meragam kerana ‘beralih rumah’.

7. Pastikan keselamatan terjaga. Stroller dan baby car seat dalam keadaan selamat. Jauhkan bayi daripada tidur berhampiran riben, tali atau sesuatu yang boleh menjerut leher bayi. Rumah rakan atau keluarga anda mungkin berbeza dari rumah kita yang selamat untuk bayi.

8. Fleksibel, jika perlu berhenti untuk membuat sesuatu berkaitan dengan bayi anda, bersedia untuk berhenti. Jangan fikir ini menyebabkan anda tidak efisien.

9. Berpakaian mengikut keadaan. Jika anda ingin ke pusat beli-belah yang sejuk, pastikan bayi anda memakai pakaian yang labuh menutup tangan dan kaki, serta bawa selimut jika terlalu sejuk. Atau jika anda keluar ke tempat yang panas, pastikan bayi anda memakai pakaian yang nipis. Dapat mengelak bayi anda tidak selesa dan meragam.

Pengalaman saya sendiri ketika baru mempunyai anak sulung, terasa agak rimas untuk keluar kerana perlu mengambil masa yang panjang untuk bersiap. Tetapi dengan pengalaman dan persediaan, semua menjadi mudah dan keadaan tidak berbeza sama ada mempunyai anak kecil atau tidak.:)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *