Tip Bayi & Anak-anak

Beri Perhatian Pada Anak

Minggu ini agak sibuk. Pekerja saya kurang sihat dah dekat seminggu MC. Jadi banyak kerja saya kena buat. Kehamilan saya baru 32 minggu, kepala baby dah kat bawah dan selalu kontraksi. Bila terasa kontraksi, nak tak nak kena berehat. Ikut hati nak buat macam-macam kerja lagi. Nak tulis blog ni pun tertangguh.

Saya pergi check up minggu lepas, semasa menunggu baca majalah di situ. Membaca satu artikel di dalamnya mengingatkan kembali tujuan asal saya berhenti kerja, memberi tumpuan pada anak-anak. Saya tersedar sejak kebelakangan ini, saya lebih tumpu pada kerja. Damia selalu minta saya print gambar princess dari internet. Banyak saya dah print dan dia akan warnakannya. Bila terlalu sibuk saya marah dan katakan saya sedang sibuk. Tetapi setiap hari dia akan tetap minta juga. Umphh. Begitu juga anak-anak saya yang lain, saya katakan saya sibuk. Cuma Daiyan sahaja saya layan sebab jika tidak dilayan, langsung saya tidak dapat buat kerja. Dia akan merengek sehingga saya buat apa dia nak.

Bila baca artikel itu, saya tersedar saya buat anak-anak saya rasa mereka tidak penting buat saya. Ada masa Damia kata tak sayang dia, jadi puas kena pujuk mama sayang Damia. Sebenarnya kasih sayang berpunca daripada perbuatan bukan lafaz sayang semata-mata. Jika kita hanya kata sayang tetapi perbuatan berbeza, tentu ‘body language’ kita yang lebih difahami dan diterima.

Selepas dari hari itu, bila Damia minta saya buat ikut permintaan dia. Saya perasan dia akan tanya pula, mama tak sibuk ke, boleh ke print gambar. Ishk nampak sangat saya dah menanam perasaan saya sibuk dan tiada masa untuk dia. Ini pun saya terhenti seketika, dia minta gambar Dora The Explorer.

Kita sebagai manusia, memang tidak akan terlepas membuat silap. Terutama apabila kita rasa tertekan dengan kerja dan anak-anak pula minta perhatian. Hilang semua tip-tip untuk berikan yang berkualiti pada anak-anak. Saya dapati didikan berubah dari generasi ke generasi. Jika dahulu, layanan begini tidak memberi kesan kepada anak-anak kerana cara didikan memang begitu. Namun jika dipratikkan sekarang, anak-anak akan ketinggalan ke belakang. Sebab itu, anak-anak sekarang lebih pintar kerana didikan lebih terbuka. Mungkin generasi akan datang, didikan akan berubah mengikut perubahan waktu. Cara didikan tidak boleh statik.

Namun bukan bermakna semua kehendaknya perlu dipenuhi. Semakin dia besar dan memahami keadaan, anak-anak perlu diajar juga menghormati waktu ibu bapanya. Ini dah masuk bahagian adab pula. Jangan pula sampai anak-anak tidak tahu adab dengan ibu bapa dan menyampuk bila mereka ingin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *