Tip Kehamilan / Mengandung, Tip Kesihatan, Tip Pemakanan, Tip Penyusuan

Puasa untuk ibu mengandung dan menyusu

Kita bakal berpuasa hari Sabtu ini, bagaimana persediaan menyambut puasa? Bulan mulia yang datang setahun sekali ini memang bulan yang dinanti. Bulan untuk kita beribadat, di mana ibadat kita diberi pahala berlipat ganda berbanding bulan-bulan lain. Terasa rugi jika tidak berpeluang melakukannya. Sikit mukadimah pra Ramadan.

Untuk bulan puasa, kedai saya akan dibuka pukul 10 pagi dan tutup 5 petang. Pesanan secara online seperti biasa, penghantaran akan dibuat setiap hari mengikut pesanan.

Baru-baru ini ada seorang ibu datang mencari produk untuk menambah susunya. Bayinya baru 3 bulan. Dia agak risau susunya tidak mencukupi.

Dalam Islam, mengikut mazhab Imam Syafie, ibu yang mengandung atau ibu yang menyusu boleh berbuka puasa. Terdapat 2 hukum iaitu berbuka kerana bimbang kesihatan dirinya akan terjejas atau berbuka kerana bimbang kesihatan anaknya.

Sekiranya ibu itu berbuka puasa kerana takut berlaku kemudharatan pada dirinya disebabkan puasanya itu, maka wajib bagi ibu itu untuk qodo’ puasanya sahaja sebelum tibanya Bulan Ramadhan yang akan datang. Berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh At Turmuzi (715) dan Abu Daud (2408) dan selainnya, dari Anas Al Ka’bi radiallahu anhu, telah berkata Rasulullah S.A.W : sesungguhnya Allah S.W.T telah mengangkat puasa orang yang bermusafir (dibolehkan berbuka) dan telah mengurangkan solatnya (boleh diqosorkan solatnya itu), dan diangkat puasa(boleh berbuka) orang yang hamil dan menyusukan anaknya.
Maksud mengurangkan solat ialah memberi kelonggaran mengurangkan rokaat solat dan adapun yang dimaksudkan dengan diangkat puasa bagi ibu yang hamil dan menyusukan anaknya itu ialah dibenarkan berbuka dengan menggantikan puasanya itu.

Sekiranya ibu itu berbuka kerana bimbang kesihatan anaknya dan takut kandungannya gugur jika dia berpuasa, ataupun takut susunya akan berkurangan dan membahayakan anaknya, maka wajib bagi ibu itu untuk berbuka dan qodho’ puasanya itu dan dikenakan fidyah iaitu bersedekah satu cupak dari makanan asasi bagi hari yang dia berbuka.

Terdapat pelbagai pendapat mazhab lain, ada yang menyatakan cukup membayar fidyah tanpa menggantikannya. Namun kita di Malaysia mengamalkan mazhab Imam Syafie jadi masih perlu menggantikan puasa.

Ketika berpuasa untuk ibu mengandung dan menyusu, penting mengambil makanan yang mencukupi dan seimbang. Bersahur pada lewat waktu menghampiri Subuh. Pastikan makan seimbang ketika bersahur. Biasanya kita kurang berselera makan ketika sahur, cuba pastikan makan dan minum secukupnya.

Tip-tip untuk ibu mengandung

Berbuka puasa apabila masuk waktu. Jangan tunggu. Lagipun sunat berbuka awal. Selepas itu pastikan minum dan makan sepanjang malam (mengikut sela waktu kesesuaian badan) untuk elak kekeringan. Makan makanan yang melepaskan tenaga secara perlahan seperti kurma ketika berbuka. Elak makanan bergula yang meningkatkan tahap gula dengan cepat dan ia juga akan turun dengan cepat, jadi ini boleh menyebabkan anda pitam dan pengsan. Dapatkan protein mencukupi dari kekacang, telur dan daging masak sepenuhnya.

Tanda-tanda yang patut anda perhatikan
-rasa nak pitam, penat atau lemah. Cuba berehat ½ jam, namun jika masih tidak berkurang tanya pendapat doktor anda.
– rasa loya dan muntah
– perubahan pada pergerakan bayi
– terasa dahaga dan warna air kencing menjadi gelap dan berbau kuat. Tanda kekeringan
– terasa kontraksi yang sakit
– mengalami sakit kepala atau demam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *