Tip Bersalin dan Berpantang

Takut Bersalin?

Agak lama tidak menulis. Ada sedikit masalah. Kebelakangan ini kerap ada masalah. Mungkin virus. Inilah asam garam kehidupan pelbagai dugaan, namun apa yang penting bagaimana nak hadapinya. Begitu juga dengan sakit bersalin. Ini semua ujian daripada Allah. Sabarlah hadapinya.

Saya ada mendapat beberapa pertanyaan mengenai sakit bersalin. Beberapa bulan lepas ada sepasang suami isteri bakal menyambut anak sulung ke kedai saya. Suaminya bertanya, sakit ke bersalin. Jawapan saya, tentulah sakit. Menurutnya, kakaknya yang telah bersalin 6 kali pun menyatakan memang sakit. Dan komennya, kenapa mesti memberikan jawapan yang menakutkan terutama kepada mereka yang bakal menghadapinya kali pertama.

Errrr. Sukar untuk berikan jawapan tidak sakit atau sakitnya seperti kena gigit semut sahaja. Jika saya berikan jawapan begitu, tentukan melegakan. Namun tentu si ibu kurang membuat persediaan dan akan menghadapi sakit yang sebenarnya boleh dikurangkan.

Dengan mengetahui teknik yang betul, sakit akan dapat dikurangkan dan tempoh mungkin dapat dikurangkan. Kini banyak hospital menyediakan kursus antenatal – persediaan ketika bersalin.

Sedikit tip dari saya.

Selepas 7 bulan banyakkan berjalan. Saya ketika kerja dulu, akan naik tangga ke pejabat di tingkat 2(atau tingkat 3). Jarang naik lif. Semakin hampir tarikh bersalin, saya akan kerap berjalan. Namun untuk keadaan tertentu seperti uri di bawah, kerap berlaku kontraksi atau berlaku pendarahan, jangan banyak berjalan. Jangan juga lakukan terlalu awal sebelum 4 bulan.

Jaga makanan. Elak makanan yang tidak menyenangkan perut seperti makanan pedas atau terlalu manis ketika hampir bersalin. Ketidakselesaan ini mengganggu proses bersalin.

Ketika menunggu dalam bilik bersalin, jangan berbaring. Duduk. Saya sendiri masa anak sulung berbaring, dan mengalami sakit. Untuk kali ke-2 saya baca tip-tip, dan salah satunya adalah jangan baring. Untuk bersalin seterusnya saya berjalan-jalan dalam bilik bersalin. Bila tidak larat berjalan saya akan duduk. Baca tip mengurangkan sakit.

Berbincang dengan doktor cara mengurangkan sakit. Apa yang boleh diambil seperti ubat tahan sakit dan lain-lain. Semasa anak sulung saya memang mengambil ubat tahan sakit, untuk anak seterusnya saya tidak mengambil sebarang ubat dengan teknik yang betul mengatasi sakit secara fizikal.

Baca ayat-ayat Al-Quran seperti 3 Qul dan ayat kursi. Si suami pula boleh bacakan Yassin untuk mengurangkan kesakitan.

Berborak-borak dengan teman samada ibu atau suami(jika dibenarkan masuk ke bilik bersalin). Ini akan mengalih tumpuan dari sakit tadi.

Penting mempelajari teknik bersalin yang betul, dapat elak berada lama di bilik bersalin dan meneran dengan lama. Ini boleh menyebabkan keletihan dan kehabisan tenaga untuk meneran.

Pengalaman saya, memang sakit ketika bersalin. Namun sakit tiba-tiba hilang ketika pertama kali melihat bayi saya. Dan ketika itu juga terasa mampu lagi untuk bersalin untuk seterusnya. Lupa rasanya sakit bersalin itu.:p

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *