Tip Bersalin dan Berpantang

Kenapa penting amalan pantang ibu bersalin

Kini penjagaan semasa pantang semakin dipandang ringan. Ada beranggapan tidak perlu, kerana badan boleh sembuh dengan sendirinya. Tambahan pula terdapat pandangan-pandangan dari pengamal perubatan moden mengatakan tidak perlu berpantang, makan apa sahaja dan badan akan baik dengan sendiri selepas tempoh tertentu. Berbeza dengan pandangan perubatan tradisional. Banyak pantang larangnya.

Pandangan saya semasa anak pertama, mempercayai 100% pandangan moden tidak perlu menjaga pantang. Namun saya tetap menjaga pantang kerana saya dijaga ibu saya, walaupun agak ‘liat’ untuk mengikutnya. Berbengkung, bertungku, minum air akar kayu, berurut dan bertangas.

Kemudian baru saya mendapat pendedahan mengapa perlu dijaga waktu pantang. Dan terdapat kawan-kawan saya yang tidak menjaga pantang mengalami pelbagai masalah. Ada yang pergi ‘shopping’ selepas 2 minggu bersalin, luka tempat sulit jadi bernanah. Ada juga telah pergi ‘shopping’ selepas sehari bersalin. Kesannya memang agak teruk, tumpah darah, muka menjadi biru kehitaman hingga terpaksa ditahan di hospital. Makcik saya juga menasihatkan supaya menjaga badan kerana kesannya mula terasa ketika tua. Dia yang kurang menjaga pantang mula merasainya. Begitu juga beberapa feedback pelanggan saya yang telah beberapa kali bersalin, mula merasai kesannya dan ingin menjaga pantang betul-betul untuk kali seterusnya ini.

Namun penjagaan secara tradisional juga mempunyai pelbagai cara. Ada antaranya memang kurang sesuai dan tidak patut di amalkan. Seperti amalan minum mengikut sukatan 2 ruas jari sekali minum, amalan makan ikan kering, ikan bilis sahaja semasa berpantang. Jika mengamalkan pemakanan begini bagaimana badan akan sembuh. Amalan minum mengikut sukatan ruas jari boleh menyebabkan masalah pada buah pinggang akibat kekurangan air. Dan tentu sekali susu juga akan kurang.

Kesan ketika semakin berumur, jika tidak menjaga pantang adalah seperti lenguh-lenguh dan bisa urat, sendi serta otot, sakit pinggang dan kebas tangan. Kebanyakannya akan menjadi dingin dan lemah tenaga batin. Jangan sangka hanya lelaki sahaja ‘mati pucuk’. Perempuan juga mengalaminya. Keinginan untuk bersama suami menjadi kurang. Rahim juga akan turun akibat proses peneranan yang kuat ketika bersalin. Jika tidak dijaga, boleh menjadi penyebab kepada kerap buang air kecil atau terkencing ketika batuk, ketawa atau bersin.

Mengikut amalan tradisional Melayu pantang 44 hari. Namun digalakkan berpantang sehingga 60 hari atau sehingga 100 hari untuk memastikan rahim pulih sepenuhnya dan melambatkan proses penuaan. Tiada bukti secara saintifik tetapi buktinya ini boleh dilihat melalui mereka yang telah mengamalkannya.

 

Perlukan bengkung, klik sini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *