Tip Penyusuan

Pengalaman Penyusuan Susu Ibu Bekerja III

S: Susu saya mengalir dengan pantas, menyebabkan bayi saya seing tersedak, bagaimana saya mengatasi masalah ini?
J: Jika bayi sering tersedak kerana susu mengalir terlalu pantas, ibu boleh melakukan perkara di bawah: • Hentikan penyusuan selama satu minit. Kemudian, masukkan semula puting ke mulut bayi apabila pengaliran susu semakin perlahan. Untuk menarik keluar mulut bayi tanpa menyebabkan puting sakit, ibu boleh masukkan jari bersih di hujung mulut bayi. Satu cara lain untuk mengatasi masalah ini ialah dengan memerah susu terlebih dahulu bagi mengeluarkan pengaliran susu yang pantas itu. • Menyusu pada kedudukan berbaring dengan meletakkan bayi di atas dada ibu akan menyebabkan bayi menghisap susu naik ke atas. Ini bermakna bayi menghisap kearah bertentangan dengan graviti. Oleh itu, pengaliran susu naik ke atas menjadi agak lambat berbanding pengaliran susu turun ke bawah. • Ibu mungkin menggunakan kaedah menyusu cara ini di waktu awal pagi atau di waktu permulaan penyusuan sahaja dimana pada waktu itu susu biasanya mengalir dengan pantas. Apabila tiba di akhir penyusuan, ibu boleh bertukar kepada menyusu cara duduk. Cara ini lebih menjamin payudara dapat dikosongkan dengan sempurna. • Menyusu pada kedudukan baring akan mengurangkan pengaliran susu. Jadi pastikan ibu sentiasa memriksa keadaan bayinya. Jika bayi tidak perlu menyusu dalam kedudukan ini, lebih baik menyusu cara duduk.

S: Saya dapati susu meleleh dan membasahi baju, apa yang harus saya lakukan?
J: Pada peringkat awal, ibu mengalami masalah susu sering meleleh keluar dari payu dara di waktu-waktu antara penyusuan. Masalah ini akan berkurangan apabila payudara dapat menyesuaikan dengan jadual penyusuan dan otot-otot di sekitar puting berupaya mengawal pengaliran keluar susu di waktu-waktu berkenaan. • Cuci payudara menggunakan air suam atau sejuk dan cuci lelehan itu agar ia tidak mengotorkan baju atau baju dalam. Penting untuk menukar pelapik baju dalam dengan kerap agar puting tidak sakit atau berada dalam keadaan lembab. Jangan gunakan pelapik plastik. Selain pelapik, baju dalam, ibu digalakkan menggunakan saputangan tetapi tidak di galakkan menggunakan tisu. • Ketika menyusu, alaskan dengan lampin bersih atau cawan agar susu boleh meleleh ke dalamnya. Seelok-eloknya, jangan pakai baju dalam agar susu boleh mengalir bebas.
S: Apa yang dikatakan “keliru puting” yang menyebabkan bayi enggan menyusu?
J: Punca utama kenapa bayi enggan menyusu ialah bayi terlebih dahulu di beri susu botol sewaktu di hospital. Bayi menjadi keliru dengan kelainan puting ibu dan tidak mahu menghisap dengan betul di payu dara ibu. Dia sukar hendak belajar memasukkan puting kedalam mulutnya. Dalam kedudukan menghisap yang baik, puting dan areola akan meregang keluar bagi membentuk seolah-olah satu puting yang panjang di dalam mulut bayi. Lidah bayi akan menekan areola ke atas sehingga terkena lelangit mulutnya. Cara ini akan menyebabkan susu mengalir keluar. Dalam kedudukan menghisap yang tidak baik, puting tidak berada cukup jauh ke dalam mulut bayi. Bayi hanya menghisap hujung puting sama seperti kaedah menghisap puting botol. Dengan cara ini, susu tidak akan keluar. Malah akan menyebabkan puting ibu terasa sakit. Kekeliruan terhadap puting terjadi apabila bayi diberikan sekali atau dua kali penyusuan menggunakan botol. Jika ibu mencampurkan susu ibu dan susu botol, bayi mungkin mempunyai kecenderungan untuk memilih susu botol dan menolak susu ibu.
S: Bagaimana jika bayi mengalami sakit tumbuh gigi dan enggan menyusu?
J: Jika bayi mendapat sakit mulut dan enggan menyusu, jangan paksa dia menyusu. Tunggu sehingga dia bersedia untuk menyusu. Dalam masa itu, perah susu untuk menjamin kelancaran pengaliranya. Kemudian, cuba letakkan bayi ke payudara. Dengan cara ini, bayi akan merasai pengaliran susu masuk ke mulutnya dengan cepat. Malah, selepas beberapa minit menghisap, bayi sudah dapat merasai sedikit susu masuk ke mulut. Cadangkan ke ibu agar:- • Bawa bayi berjumpa doktor untuk mendapatkan pemeriksaan mulut, kerongkong dan telinga. Keengganannya mungkin disebabkan dia sakit. Dapatkan ubat yang boleh melegakan gusinya yang sakit. • Jika bayi masih tidak mahu menyusu, perah susu dan berikan susu itu menggunakan sudu, cawan atau penitis ubat. Selepas beberapa hari, bayi akan kembali menyusu di payudara. • Cuba menyusu di waktu bayi sedang tidur atau mengantuk. Pada waktu ini, bayi tidak begitu sedar dan akan menghisap dengan baik. • Cuba menyusu di dalam bilik yang sunyi dan jauh dari gangguan. Cuba menyanyi dan mendodoikan bayi. • Apabila bayi kembali menyusu di payudara, ibu perlu menyusu dengan kerap selama beberapa hari bagi menambah semula pengaliran susu yang terbantut ketika bayi enggan menyusu sebelum ini.

S: Saya dapati susu saya berkurangan selepas mengambil pil perancang, apa harus saya buat?
J: Pil perancang boleh menybabkan susu ibu berkurangan. Kadang kala, bayi enggan menyusu kerana perubahan rasa pada susu ibu yang di sebabkan oleh perubahan hormon setelah memakan pil. Jika ibu memberitahu anda yang dia memakan pil dan bayi mula cerewet setiap kali waktu menyusu atau tidak mahu menyusu sama sekalli, anda perlu merujuk ibu berkenaan kepada doktor atau klinik perancang keluarga agar ibu boleh mendapatkan kaedah perancang yang lain. Kadang kala, bayi enggan menyusu selepas berusia enam menggu. Ini mungkin berkaitan dengan pemeriksaan doktor selepas ibu tamat tempoh berpantang dan pengambilan pil selepas pemeriksaan itu.
S: Bolehkah saya menyusu jika puting saya rata?
J: Bayi masih boleh menyusu walaupun puting ibu rata atau tenggelam. Puting yang rata boleh dikeluarkan menggunakan ibu jari dan jari telunjuk atau menggunakan pam payudara sebelum penyusuan. Selepas ia ditarik keluar, puting akan cepat-cepat dimasukkan ke dalam mulut bayi. Puting akan berada dalam keadaan lebih baik tidak lama selepas bayi mula menghisap. Lama kelamaan, hisapan bayi akan menyebabkan puting yang rata atau tenggelam menjadi timbul. Dalam soal ini, ibu boleh berjumpa dengan Kaunselor PPPIM.

S: Bagaimana jika saya membawa bayi keluar dan saya harus menyusu?
J: Bayi yang menyusu susu ibu mudah keluar dari rumah bersama ibu. Selalunya, bayi akan di bawa ke tempat-tempat yang memudahkan dia menyusu di mana sahaja. Biasanya, pusat membeli-belah ada menyediakan bilik yang sesuai untuk para ibu menyusu anak. Jika ibu terpaksa keluar tanpa membawa bayi bersamanya, ibu perlu memerah susunya dan diberi kepada bayi menggunakan sudu atau cawan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *